01 Mei 2010

Ulama anggotai kumpulan dikir barat



Muhd Yusri Amin   
KOTA BHARU, 29 April: Kelantan mencetus satu lagi kejutan baru apabila menubuhkan pasukan dikir barat di kalangan ulama yang terdiri daripada guru-guru agama dan imam masjid.
Biar pun berpakaian jubah dan serban di kepala, mereka boleh berdikir seperti kumpulan dikir barat lain. Jangan terkejut kerana inilah idea dicetus Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dan baru-baru ini beliau melancarkan kumpulan dikir barat tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat.
Ketika berucap pada perlancaran kumpulan terbabit, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana cita-citanya untuk memperbanyakkan medium dakwah berjaya direliasasikan melalui persembahan dikir barat.
“Kenapa kita tidak pergunakan persembahan dilkir barat untuk saluran dakwah Islam. Hari ini kita melancarkan Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat,” katanya di Balai Islam, Lundang.
Bagi melahirkan rasa gembiranya, beliau menyumbangkan wang peribadi sebanyak RM10,000 bagi mengisi Tabung Kumpulan Dikir Sri Halaqat.
Beliau berkata, minat rakyat Kelantan kepada dikir barat tidak dapat dinafikan kerana di mana-mana sahaja persembahan kebudayaan itu diadakan, ramai orang datang.
Sementara itu, Pengelola Halqat Negeri, Abdullah Abdul Razak berkata, penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat merupakan cetusan idea Menteri Besar sendiri yang dimulakan pada awal 2009.
Katanya, selain Kumpulan Dikir Barat Sri Halaqat, pihaknya juga menubuhkan Kumpulan Seni Budaya Halaqat.
"Beberapa pengubahsuaian dilakukan iaitu tok juara dikir diubah nama kepada tukang pantun, manakala tukang karut dipanggil tukang syair.
Unit Dakwah Halaqat kini mempunyai tenaga seramai 3,177 orang yang terdiri daripada mubaligh dan guru al-Quran.
Katanya, hasil kelas pembelajaran al Quran yang dikendalikan guru-guru al-Quran secara purata setiap tahun dapat melahirkan seramai 4,200 pelajar yang khatam al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan