Syariat Islam tonggak tertinggi perundangan



Ismail Hashim   
BANTING, 17 Sept: Umat Islam khususnya wajar melihat semula kejayaan pelaksanaan syariat Islam sebagai tonggak tertinggi perundangan kehidupan Muslim ekoran kebejatan berbagai masalah mutakhir.
Demikian penegasan oleh Pengasas Pondok Bustanul Arifin, Ustaz Ahmad Ansori mengulas perkembangan negatif terkini yang berlaku dalam negara ketika ditemui di pusat tarbiyahnya, di sini petang kelmarin.
Menurutnya, umat sewajibnya mengakui segala perintah yang Allah SWT. tentukan itu adalah yang terbaik diturunkan sebagai pedoman paling berguna menyuluh kegelapan perjalanan mereka.
"Tanpa itu semua, umat Islam seperti berada di dalam gelap gelita seperti malam tanpa bintang meskipun mereka merasakan seperti berada di bawah cahaya terang mentari di siang hari," ujarnya.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun mendidik lebih 100 pelajar termasuk 12 mereka yang terlibat di dalam berbagai masalah peribadi kronik termasuk menyamun, mengambil dadah secara salah, merogol dan sebagainya.
Berpengalaman sejak belajar di Ansor, Batang Berjuntai, Taman Islam Kemaman, Pondok Kerasak Selatan Thailand menyambung pengajian di Syria dan Al-Azhar, Mesir; memberikan banyak pengalaman kepadanya untuk menangani isu itu.
Dalam perkembangan sama, beliau sangat kesal dengan sikap orang Melayu yang sanggup menjadi balaci bukan Islam untuk membunuh orang Melayu dalam apa cara sekalipun.
"Inikah tahap kemajuan bangsa Melayu yang hendak dibangga-banggakan oleh negara? Beginikah bentuk sikap dan keperibadian generasi baharu yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada satu masa nanti?
"Justeru, setelah semua bentuk perundang-undangan telah dicuba dan dipraktikkan namun seluruhnya menunjukkan natijah gagal, menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk melaksanakan undang-undang yang berteraskan sumber dari Pencipta sendiri.
"Persoalannya, kenapa mereka boleh laksanakan bentuk dan kaedah ciptaan manusia di masa sama menolak dan engkar dengan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT," tegasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Ansori mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah memberikan kemudahan infrastruktur kepada pusat-pusat berasaskan agama milik swasta.
Tambahnya, inilah bezanya bagaimana bentuk pentadbiran kerajaan yang mengutamakan rakyat dan mereka dapat buktikan, bukan hanya slogan semata.
"Sebagai bukti, pusat saya ini telah ditubuhkan selama tujuh tahun namun dalam masa dua tahun Pakatan Rakyat memerintah sahaja, baharulah terdapat kemudahan dan peruntukan yang diberikan kepada pusat seumpama ini.
"Bererti jika kerajaan lama terus memerintah Selangor amat sukar untuk kami dan kita semua akan dapat merasai nikmat kemajuan yang sewajarnya diberikan kepada semua yang berhak," jelasnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI