Kuasa Allah melalui kuasa rakyat kecundangkan BN



Kuasa Allah melalui kuasa rakyat kecundangkan BN
Ustaz Zainudin Hashim Tue Mar 18, 08 10:07:52 am MYT
Dalam apa jua bidang kehidupan manusia, hubungan mereka dengan Maha Pencipta tidak dapat dipisahkan bagaikan aur dengan tebing. -->-->
Kerana Maha Pencipta yang telah menjadikan manusia, merencanakan penciptaan-Nya hanya untuk tunduk kepada-Nya melalui penyembahan hakiki atau dikenali sebagai ibadat khusus seperti solat, haji, puasa, zakat, pelaksanaan undang-undang Islam dan sebagainya.
Semua amalan tersebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan bentuk yang lebih sempurna jika manusia hanya memikirkan persoalan kehidupan duniawi seperti aspek cari makan dengan mengenepikan persoalan pemerintahan sesebuah negara.
Kemungkaran berlaku di mana-mana dalam bentuknya yang tidak pernah tergambar oleh fikiran Muslim negara ini.
Jika seorang Muslim hanya memikirkan untuk beramal ibadat tanpa mengambil kira persoalan pemerintahan atau kepimpinan negara, ditambah percambahan maksiat secara berleluasa, maka ibadatnya itu boleh dipertikaikan Allah SWT.
Ini kerana pelaksanaan ibadat hanya untuk dirinya sendiri, sedangkan persoalan pemerintahan adalah untuk semua bangsa manusia yang melata di alam maya ini.
Justeru, bagi merealisasikan kesempurnaan tuntutan pemerintahan tanpa menumpahkan darah manusia, maka penglibatan Muslim dalam pilihan raya adalah dianggap wajib kerana mahu menghapus atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kegiatan maksiat secara berperingkat-peringkat dengan penuh hikmah.
Penguatkuasaan dalam bidang penerangan tentang kepentingan agama merupakan agenda keutamaan pemerintah untuk mendidik rakyat memahami hakikat sebenar agama Islam.
Pilihan raya dianggap jambatan bagi merealisasikan tuntutan untuk mendapatkan kuasa memerintah. Ia tertakluk pula kepada pendekatan dan dasar parti yang bertanding dalam pilihan raya.
Jika ia parti Islam, sudah tentu aspek ketuhanan dititikberatkan dalam pemerintahan, tetapi sebaliknya pemerintah berkiblatkan fahaman Sekularisme, maka ia menjadi teras dalam pentadbiran negara.
Kuasa Allah terlaksana dalam pilihan raya baru-baru ini, apabila rakyat menggunakan kuasa mereka bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pembangkang di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan yang mendapat sokongan padu rakyat, malah peratusan undi buat BN menurun, menggusarkan banyak pihak.
Seperkara yang menarik perhatian banyak pihak dalam negara ini, apabila Parlimen bersidang bagi melanjutkan tugas Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman daripada usia 65 kepada 66 tahun dan sempat pula menjalankan peranannya pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.
Walaupun beliau banyak berdalih dengan beberapa muslihat yang cenderung kepada kemenangan BN, melalui peraturan baru sebelum penamaan calon dan hari pengundian, sedangkan ia boleh dirancangkan dalam tempoh empat tahun sejak PRU ke-11, perancangannya digagalkan Allah melalui kuasa rakyat.
Tindakan keterlaluannya itu meyakinkan kepada kita bahawa Allah SWT tidak merestuinya. Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Mereka membuat perancangan, Allah juga membuat perancangan, sesungguhnya Allah menggagalkan perancangan mereka."
Apapun beliau telah memilih cara demikian untuk meneruskan kesinambungan hidup, tetapi penipuan yang jelas berlaku tidak sedikit pun dialpakan makhluk yang bernama Malaikat, semua tindakan dirakam dan akan ditayangkan di mahkamah Allah pada hari Kiamat, namun ia boleh dihapuskan dengan pengakuan terbuka beliau di dunia ini.
Jika beliau sekarang berusia 66 tahun, apakah Parlimen akan bersidang sekali lagi bagi melanjutkan usia pengerusi SPR kepada 70 pada 2012 bagi menebus semula kekalahan, semuanya bergantung kepada keadaan yang difikirkan perlu oleh PM.
Gerakan menuntut pilihan raya bersih dan adil (Bersih) selepas ini boleh bersuara lantang di Parlimen.
Ini kerana pendukungnya seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS (Marang); Dr Dzulkefli Ahmad (Kuala Selangor); Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai); Dr Lo'Lo' Ghazali (Titiwangsa); Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja); Salahuddin Ayub (Kubang Kerian); Haji Mahfuz Omar (Pokok Sena) turut kembali ke Parlimen dan ramai lagi rakan-rakan daripada PKR.
Kehadiran mereka di Parlimen adalah untuk membawa misi rakyat yang mahukan pembelaan seperti penurunan harga barangan, kadar tol dan sebagainya. Parlimen akan kembali riuh dengan hujah-hujah pembangkang yang berkaliber penuh dengan fakta dan bukti. Untunglah rakyat kali ini kerana mendapatkan ahli-ahli parlimen yang sanggup mempertahankan hak rakyat lebih ke atas diri mereka sendiri.
Jika misi ini berjaya, tidak mustahil pada pilihan raya umum ke-13 akan menyaksikan pula ahli-ahli BN menjadi pembangkang di Parlimen buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia. - lanh

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI