MENGAPA TIDAK BERPOLIGAMI ??

Boleh dikatakan semua akhbar tempatan pada hari ini mendedahkan satu berita yang pada pandangan umum seakan-akan pelik, iaitu berkenaan dengan Muhammad Nor yang diizinkan oleh ketiga-tiga isterinya agar menikah seorang lagi Isteri[1].Berita ini, melahirkan berbagai-bagai perbincangan di alam maya dan alam nyata, samada melalui ruangan blog , forum dan sembang borak di kedai-kedai kopi dan di mana-mana.Ada yang menyokong, dan tidak kurang juga mereka yang memandangnya dengan pandangan sinis. Juga tidak kurang juga memerli dengan kadar kemampuan kewangan Mohammad Nor yang merupakan seorang pemandu lori yang bergaji RM 1500 sahaja.Padaku, kejadian ini perlu dilihat dengan pandangan positif. Keadaan ini melihat kepada zaman yang memerlukan poligami, disamping ianya diizinkan oleh Allah SWT.Firman Allah;


فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
Maksudnya;“maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja”(SUrah Ani-Nisa’ : 3)

ZAMAN FASAD
Jika dibandingkan antara zaman dahulu dengan zaman moden ini. Didapati kehidupannya amat berbeza. Jika dahulu, kaum hawa dikenali sebagai “suri rumah”, tetapi kini, Kaum hawa bukan lagi sinonim dengan suri rumah sahaja, bahkan sudah ada kaum hawa berjawatan tinggi sehingga memegang jawatan menteri.Kadangkala kerjaya yang dipegang oleh kaum hawa ini sampai kepada tahap yang tinggi, menyebabkan masa mereka tidak dapat diberikan sepenuh perhatian kepada suami. Menyebabkan, kadangkala keadaan ini boleh membawa kepada fasad di muka bumi, lantaran tiada saluran “nafsu” yang hendak disalurkan mengikut saluran fitrah yang sebenar.Disamping itu juga, kebanjiran ibu-ibu tunggal, berpunca dari kematian suami atau bersuamikan lelaki yang terlibat dengan dadah atau suami yang tidak bertanggungjawab, menyebabkan berlaku perceraian.Keadaan sebegini agak tidak berlaku di zaman dahulu, tetapi ianya sudah dianggap biasa oleh generasi kini.Memandangkan kaum hawa yang ditimpa masalah-masalah sebegini juga merupakan manusia, yang sudah pasti mempunyai kehendak dan kemahuan untuk hidup dengan bahagia, maka hendaklah difikirkan jalan penyelesaian bagi mengatasinya.

POLIGAMI ADALAH PENYELESAIAN
Dalam hal ini, Islam telah menyediakan alternative dalam penyelesaiannya, iaitu antaranya adalah berpoligami. Bahkan, jika merujuk kepada Al-Quran sendiri, didapati Al-Quran menjelaskan bahawa lahirnya poligami adalah bersebab bagi menyelesaikan permasalahan anak-anak yatim.

Firman Allah;


وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya;“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja”(Surah An-Nisa’ :
3)Dalam firman Allah ini, Allah mengkaitkan antara menjaga anak yatim dengan berpoligami.Sepertimana yang diketahui, anak-anak yatim merupakan manusia yang wajib dihormati dan diberikan pertolongan. Memberi pertolongan kepada anak yatim merupakan pahala yang besar disisi Allah SWT.Bagi memastikan permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak yatim, memerlukan kepada penjagaan harta dan terhadap diri mereka sendiri dengan seadilnya. Kadangkala penjagaan anak yatim itu menjadi sesuatu yang rumit, seperti melibatkan aurat, makan, minum dan sebagainya, maka Islam mencadangkan agar mengambil anak-anak yatim itu menjadikan isteri secara berpoligami atau dikahwinkan kepada anak-anak.Keizinan itu adalah bersebab, apabila sudah menjadi isteri, ketika itu akan dapat menghindarkan kerumitan dalam penjagaan, disamping akan wujud kasih sayang, disebabkan anak-anak yatim itu sudah mempunyai hubungan secara berkeluarga.Hujjah ini dihubungkan dengan firman Allah;


وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَى قُلْ إِصْلَاحٌ لَهُمْ خَيْرٌ وَإِنْ تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ

Maksudnya;” Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: "Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu”(Surah Al-Baqarah : 220)

Menurut Imam Ibnu Kathir, ayat ini diturunkan lanjutan dari firman Allah dari surah An-Nisa’ yang berbunyi ;

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya;” Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)”(Surah An-Nisa’ :

10)Setelah turunnya ayat ini, menyebabkan sebilangan sahabat berhati-hati dalam penjagaan anak yatim, sehingga mengasingkan antara makanan mereka dengan makanan anak yatim, antara minuman mereka dengan minuman anak-anak yatim. Keadaan ini berlanjutan sehingga terjadi keadaan yang mana, anak-anak yatim itu dianggap seperti orang asing dalam keluarga.Sebilangan sahabat memberitahu keadaan ini kepada Rasulullah SAW, menyebabkan turunnya firman Allah dari surah al-baqarah ayat 220 yang menyatakan perlunya melakukan kebaikan terhadap anak yatim dengan bergaul dengan mereka secara baik. (Tafsir Ibni Kathir : 1/581)Firman Allah;


وَإِنْ تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ

aksudnya;“dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu”(Surah An-Nisa’ : 3)

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Abu Muslim menyatakan bahawa maksudnya adalah pernikahan. (At-Tafsir Al-Kabir : 3/286)Tafsiran Abu Muslim ini amat bersesuaian dengan maksud firman Allah;

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya;“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat”
Pun begitu, disebalik keizinan Allah itu, ada sebilangan manusia tidak berkesempatan dari sudut kewangan lantaran ramai isteri, menyebabkan mereka mengambil kesempatan mengambil harta anak yatim dengan secara sembunyi-sembunyi.Tindakan itu merupakan dosa, menyebabkan Allah menyatakan dalam firman-Nya


فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya;jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja”
(Surah An-Nisa’ : 3)

Seakan-akan Allah nyatakan, boleh kamu berkahwin dengan anak-anak yatim secara poligami, tetapi perlu diingat, bahawa perkahwinan perlu berlaku adil terhadap mereka. Jika kamu tidak dapat melakukan keadilan, maka hendaklah kamu merasa cukup dengan seorang isteri sahaja.

DI MANAKAH PENYELESAIANNYA?
Jika dilihat kepada perbahasan ayat ini, dilihat penurunannya lebih kepada permasalahan yang menimpa umat Islam terdahulu, iaitu melibatkan kepada anak-anak yatim.Keadaan yang sama juga agak berlaku kepada umat islam kini. Jika dahulu, permasalahan itu melibatkan kepada anak-anak yatim, tetapi kini melibatkan kepada ibu-ibu tunggal dan juga ”anak-anak dara tua”.Dalam hal itu, penyelesaian yang baik dalam menghadapi permasalahan ini adalah dengan dilakukan ”kempen poligami”, iaitu kempen agar para suami bukan sekadar beristeri satu, bahkan menambah isterinya lebih dari satu sehingga kepada batasan yang dibenarkan oleh syarak.Pun begitu, kempen yang hendak dilakukan tersebut, perlunya dibataskan dengan syarat-syarat kemampuan yang telah ditetapkan oleh islam.

PERLU BERLAKU ADIL

Adil merupakan perbincangan yang hangat diperbincangkan dalam isu berpoligami. Tidak dinafikan, tidak semua pihak suami mampu dalam melakukan keadilan terhadap isterinya.Pun begitu, menurut Imam Al-Ghazali, kewajipan melakukan keadilan kepada isteri-isteri itu hanya pada pemberian nafkah dan dalam menentukan bermalam bersama mereka. Adapun dalam perkara yang berkaitan dengan jimak dan perasaaan cinta, tidak diwajibkan ditunaikan secara adil. Ianya kerana, kewajipan melakukan adil itu dibawah perkara yang disebut sebagai ”Ikhtiyari” iaitu perkara yang boleh diusahakan sendiri. (Ihya’ Ulum Al-Din : 1/70)Jika semua perkara hendak dilakukan secara adil, seperti pada jimak dan perasaan cinta, sudah pasti Allah tidak akan menyebut bahawa manusia sudah pasti tidak dapat melakukan keadilan terhadap isteri-isterinya, walaupun ia berusaha sekalipun. Pun begitu, ianya tetap disebut oleh Allah dalam Al-Quran.Firman Allah


وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

Maksudnya;” Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian”
(Surah An-Nisa’ : 129)

Maka dengan sebab itu, tidak hairan Baginda SAW sering berdoa dengan doa

:اللهم هذا قسمي فيما أملك فلا تلمني فيما تملك ولا أملك

Maksudnya;”Ya Allah, ini adalah pembahagianku pada perkara yang aku miliki. Jangan kamu ambil salah pada perkara yang kamu miliki, tetapi ianya aku tidak miliki”
(Sunan At-Tarmizi : 1059)

Dalam mensyarah hadis ini, Al-Mubarakpuri memaksudkan dengan perkara yang tidak dapat dimiliki itu adalah “perasaan cinta”. (Tuhfah Al-Ahwazi : 3/215)Begitujuga, dilihat pada hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, bahawa Amru bin Al-As bertanya kepada Nabi SAW dengan katanya

أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ قَالَ عَائِشَةُ

Maknya;“Siapakah manusia yang paling kamu sayang? Bersabda Nabi : Aisyah”
(Sahih Al-Bukhari : 3389)

MASALAH HARTA??
Harta merupakan antara perkara penting dalam perbincaangan poligami. Harta dalam urusan rumah tangga, dibawah perbincangan nafkah yang wajib ditunaikan oleh pihak suami terhadap isterinya.Maka dengan demikian, apabila seseorang suami yang ingin berkahwin, lalu dia tidak mempunyai harta, maka dilarang dari dia berkahwin, kerana dibimbangi tidak dapat menunaikan nafkah yang diwajibkan kepada dirinya. Ekoran dari itulah, harta menjadi antara penghalang agar tidak berpoligami.Apa yang pasti, dalam perbincangan harta, ada beberapa jalan penyelesaian yang telah ditetapkan oleh islam. Ada beberapa pengecualian yang telah Islam izinkan kepada suami berkahwin dengan isteri dalam keadaan tidak memberi nafkah. Itupun, keizinan tersebut tertakluk kepada syarat.Syarat tersebut adalah, hendaklah pihak isteri rela bahawa nafkah itu tidak diberikan kepadanya. Hal ini disandarkan kepada tindakan Suadah Binti Zam’ah yang merupakan isteri kedua Baginda SAW, yang mana, beliau telah mengizinkan kepada Rasulullah SAW untuk mengambil malam gilirannya diberikan kepada Aisyah. (sahih Bukhari : 2453)Disamping itu juga, setiap manusia itu mempunyai rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah.Sabda Nabi SAW

;إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَّلَ بِالرَّحِمِ مَلَكًا يَقُولُ يَا رَبِّ نُطْفَةٌ يَا رَبِّ عَلَقَةٌ يَا رَبِّ مُضْغَةٌ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهُ قَالَ أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى شَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَمَا الرِّزْقُ وَالْأَجَلُ فَيُكْتَبُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ

Maksudnya;“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan seorang malaikat kepada rahim ibu. Dia berkata, Ya tuhan, ini adalah nutfah. Wahai tuhan, ini adalah ‘Alaqah. Ya Tuhan, ini adalah Mudhghah. Apabila hendak diciptakannya, lalu berkata, adakah dia lelaki atau perempuan. Apakah hidupnya kecelakaan atau kebahagiaan. Apakah rezkinya dan ajalnya. Lalu ditulis pada perut ibunya”
(Sahih Al-Bukhari : 307)

Rezeki bermaksud apa yang dipakai dan digunakan. Sesuatu yang dimiliki, belum tentu lagi boleh dipakai atau digunakan. Dengan sebab itu, ada orang memiliki beras, tetapi beras itu tidak dikira sebagai rezekinya melainkan setelah dia makan.Berapa ramai manusia yang memiliki beras, tetapi disebabkan beras itu bukan rezekinya, maka beras itu menjadi nasi yang dimakan oleh orang lain.Maka dengan demikian, apabila seseorang itu berkahwin, rezekinya akan bertambah disebabkan tanggungjawab yang dia tanggung itu telah ditambah berdasarkan peruntukan rezeki terhadap isterinya.Juga perlu diingat, antara syarat untuk mendapat ”murah rezeki” adalah dengan bertaqwa kepada Allah.Firman Allah;

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا *
وَيَرْزُقْهُ مِنْ
حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya;“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. * Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya”
(Surah At-Talaq : 2-3)


Dan sesungguhnya, antara syarat mendapat kesempurnaan taqwa itu adalah dengan berkahwin.Sabda Nabi SAW;


تزوج العبد ، فقد استكمل نصف الدين ، فليتق الله فيما بقي


Maksudnya;“Apabila seseorang hamba itu berkahwin, maka telah sempurnalah setengah agamanya, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada bahagian yang berbaki”
(As-salsilah As-Sahihah : 625)

Maka dengan itu, apabila seseorang berkahwin atas dasar taqwa, sudah pasti Allah akan menambah rezekinya. Dengan rezeki itulah, dia dapat mengharungi bahtera rumah tangga bersama isteri-isteri dengan jayanya.


ISTERI PERTAMA TIDAK IZIN????

Isteri pertama tidak izin merupakan antara sebab ramai para suami tidak berpoligami. Perkara ini berpunca, apabila penilaian para wanita bahawa apabila suami mereka berkahwin lagi, bermakna suami mereka tidak menyayangi mereka.Apa yang paling penting dalam menilai perkara ini, bukanlah penilaian cinta atau sayang, tetapi yang paling penting adalah penilaian dalam menghadapi zaman fasad.Seseorang isteri yang solehah, sudah pasti tidak akan redha dengan kefasadan yang terjadi disamping tidak akan bergembira dengan kesusahan yang menimpa kepada muslimat-muslimat yang perlu kepada suami.Maka dengan itu, pengorbanan dalam berkongsi sayang merupakan harta yang paling mahal dan penilaian yang amat berkesan dalam menentukan seseorang isteri itu solehah atau tidak.Dari pihak suami pula, sebelum hendak menambah isteri, janganlah dilakukan perkahwinan secara sembunyi-sembunyi, bahkan selayaknya terlebih dahulu mendidik para isteri dengan kefahaman islam disebalik pensyariatan poligami, mendedahkan kepada mereka keperluan poligami di zaman kini, dan mentarbiyyah mereka tentang kepentingan berusaha menjadi isteri yang solehah.Jika dipermulaan mereka agak tidak boleh menerimanya lagi, bersabar terlebih dahulu, disamping meningkatkan lagi usaha dalam mentarbiyyah mereka sehingga mereka memahami kepentingan poligami dalam Islam dalam menyelesaikan masalah masyarakat kini.Apabila mereka sudah mengerti, disana pasti akan wujud saling faham memahami, yang dengan itu, apabila poligami berlaku, sudah pasti, segala masalah keluarga secara berpoligami dapat diselesaikan secara baik dan muwafakat.Perkara penting juga perlu dilakukan adalah, sebelum perkahwinan berlaku, hendaklah dipastikan, bakal isteri yang baru juga diberikan kefahaman yang jelas tentang situasi hidup berpoligami dan kesusahan-kesusahan yang akan dihadapi. Jika tidak, dibimbangi ditimpa masalah dimasa akan datang.

PESANAN
Poligami ini bukanlah satu prinsip yg wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak melaksanakannya. Ianya adalah cuma satu keharusan sahaja.........dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat......... Cuma jika diperamati perkataan "ADIL" dalam surah An-Nisaa ayat 3 tu maka ianya amat subjektif sekali.......
Syarat poligami:
1. Menanggung Nafkah isteri2 - dzahir dan batin
2. Berlaku adil terhadap isteri2 dalam:
a. Menyediakan kediaman.
b. Giliran bermalam
c. Giliran mengikut semasa musafir Adil jugak bukan hanya pada suami tetapi isteri2 jugak harus bersikap adil.......
dan tidak tamak kerana suami itu sebenarnya bukan milik mereka tetapi adalah milik Allah jua.........isteri2 cuma berkongsi suami sahaja.......dan perkongsian ini boleh menjadi lebih baik jika siisteri saling faham-memahami dan sentiasa bertolak-ansur............ Jika kita sanggup dan mampu .........silakan........cuma jangan sekali-kali kita membelakangi isteri pertama......dan seharusnya isteri pertama telah sedia maklum dengan masalah poligami ini...........taribiyyahlah isteri anda supaya ianya benar2 faham........ Poligami ini dilihat dari luar memang seronok......tapi janganlah tanya diri sendiri ttg kemampuan poligami.....jawapannya memang boleh dan mampu ajer tapi tanyalah isteri masing2............ kerana ditakuti kita tidak dapat berlaku adil seperti dinyatakan dalam surah An-Nisaa ayat 129 yg bermaksud:
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

PENUTUP

Perkahwinan secara berpoligami, sudah pasti akan berjumpa dengan berbagai-bagai masalah. Cemburu antara isteri merupakan antara perkara yang akan dihadapi.Pun begitu, sekiranya perkahwinan itu diasaskan atas dasar keimanan, ketaqwaan dan kefahaman, sudah pasti, perkahwinan secara poligami dalam dihadapi dengan baik dan bijak.Maka dengan itu, tidak ada alasan seseorang itu menolak dari melakukan poligami sekiranya mempunyai kemampuan batin. Cumanya, adakah perkahwinan itu perlu disegerakan atau tidak, itulah perkara yang perlu difikirkan dalam menjayakan keizinan yang Allah berikan kepada kaum lelaki ini.Sekian
Wallahu 'Alam


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI