18 Ogos 2008

KELAB PENYOKONG PAS AKAN DIANGKAT SEBAGAI SAYAP PARTI

IPOH, 18 Ogos (Hrkh) - Pertambahan Kelab Penyokong PAs di negeri-negeri dan penyertaan yang begitu ramai golongan bukan Islam menjadsi ahli kelab penyokong menandakan masyarakat bukan Islam kini sudah yakin dengan perjuangan PAS. Iklan



Justeru, sudah sampai masanya Kelab Penyokong PAs diangkat statusnya sebagai sayap parti, seperti Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.

Sehingga kini lebih 10,000 orang bukan Islam telah menyertai Kelab Penyokong PAS di seluruh negara dan angka ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam satu sidang media selepas selesainya Muktamar PAS kali ke-54 di Stadium Indera Mulia semalam.

Kelab penyokong PAS akan ditingkatkan tarafnya sebagai dewan dan langkah-langkah sedang diteliti bagi membolehkan Kelab Penyokong PAS diangkat ke peringkat yang lebih baik.

"PAS Pusat telah mencadang ahli Kelab Penyokong PAS dilantik sebagai senator di negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat, tetapi negeri-negeri berkenaan belum lagi melantik senator dari kalangan Kelab Penyokong PAS kerana Kerajaan Negeri cuma mempunyai dua kuota sahaja untuk jawatan Senator," katanya.

Namun begitu kata Ustaz Abdul Hadi, ahli-ahli Kelab Penyokong PAS ada yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran.

Sebelum itu Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw mencadangkan PAS meminda perlembagaannya untuk membolehkan dewan itu ditubuhkan.

"Kita berharap dewan baru tersebut boleh menjadi salah satu sayap parti. Ini boleh mewujudkan senario baru untuk memberi ruang ahli menyatakan pandangan mereka.

"Oleh itu jawatankuasa teknikal boleh diwujudkan bagi memikirkan perkara itu," katanya.

Hu Pang Chaw berkata, keahlian Kelab Penyokong PAS semakin meningkat dan akan dikembangkan ke Sabah tidak lama lagi.

Beliau juga mencadangkan kerajaan Kedah melantik pegawai yang tahu berbahasa Cina dan Tamil bagi memantau berita yang disiarkan media bukan Melayu.

Mengenai muqabalah, beliau memberitahu muqabalah akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk kepentingan negara.

Beliau yakin ahli parti dapat memahami muqabalah, kerana itu tidak perlu PAS Pusat turun ke bawah bagi menerangkannya kepada akar umbi. - mns _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan