LEBIH 5,000 PENUHI STADIUM INDERA MULIA DENGAR UCAPAN

IPOH, 15 Ogos,(Hrkh)- Muktamar PAS kali ke-54 yang memasuki hari ketiga memperlihatkan seramai 5,000 hadirin berbondong-bondong datang dari seluruh pelusuk negara.

Tetamu-tetamu yang mewakili rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah bersama penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim selain Pengerusi DAP, Dato' Ngeh Khoo Ham turut kelihatan.
Ketibaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 8.35 pagi ini diiring kira-kira 20 buah motor berkuasa tinggi bagi menghadiri majlis perasmian muktamar yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh di sini.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat yang juga diiring dengan 20 buah motor berkuasa tinggi pula tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Sementara itu, di luar perkarangan stadium sebelum majlis perasmian bermula, upacara tabik hormat Unit Amal yang diketuai oleh Khairul Aini berlangsung.
Lintas hormat Unit Amal yang bermula pada jam 8.50 pagi itu dimulakan dengan lagu Al-Amal. Kekuatan tentera merah yang berjumlah 150 orang itu diperiksa oleh Ustaz Hadi sambil diiringi dengan lagu Semarak Perjuangan nyanyian kumpulan Shoutul Amal.
Majlis perasmian muktamar kali ini yang bertemakan 'PAS untuk Semua' dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi PAS dan diikuti ucapan aluan daripada pengerusi tetap majlis perasmian, Abu Kasim Abdullah.
Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Surah Al-A'raf ayat 156 hingga 160 dialunkan oleh Johan Qari Tilawah Antarabangsa 2004, Radzi Kamarul Hailan.
Seterusnya, Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar dengan tema 'PAS untuk Semua' dan merasmikan muktamar kali ini kira-kira jam 10 pagi.
Diikuti pula pada jam 11.15pagi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz dijemput untuk melancarkan buku yang bertajuk'Kemuncup dalam Perjuangan'.
Akhbar milik parti, Harakah dua kali seminggu kemudiannya telah dilancarkan oleh Ustaz Hadi yang diiringi Pegerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali yang bermula 15 Ogos 2008 bersamaan 13 Sya'aban 1427H. Vespa c70 dipandu oleh Abd Manaf Dahalan sambil membawa beberapa naskah akhbar Harakah menjadi gimik pelancaran akhbar ini.
Ustaz Hadi yang diiringi Setiausaha Agung PAS, Dato'Kamaruddin Jaffar dan Dato' Mustafa Ali menyampaikan satu naskah Harakah kepada setiap pesuruhjaya tinggi setiap negeri.
Montaj bagi Harakah dua kali seminggu juga ditayangkan kepada hadirin yang hadir.
Dua wakil gerakan Islam iaitu Timbalan Presiden AK Parti Turki,Prof Dr Man Kutrunus dan wakil Gerakan Islam Myanmar, Haji Abd Ghaffur berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada Presiden PAS sebagai tanda persahabatan.
Majlis perasmian pagi itu diakhiri dengan bacaan do'a yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama', Mohd Daud Iraqi. Muktamar bersambung jam 3 petang ini._

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI