PAS : DAKWAH DAN SIASAH

PAS : DAKWAH DAN SIASAH
Melebarkan Sokongan
Merentasi Semua Kelompok
Serta Segmen Rakyat dan Pengundi

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sokongan jitu masyarakat dari pelbagai kaum dan latar belakang terhadap perjuangan yang kita dokong merupakan elemen yang akan membantu untuk kita menang dan perkasa .

Sokongan jitu ini dengan maksud bukan sokongan spontan yang bersifat jalanan dan murahan , tetapi sokongan yang diraih dengan nilai kepercayaan tinggi masyarakat terhadap perjuangan kita .

Saya melihat sokongan seperti ini mesti diperolehi melalui sekurang - kurangnya 4 subjek :

Subjek yang pertama : TAKHTIT YANG MUNAZZAMAH

Iaitu Perancangan yang strategik berasaskan komitmen terhadap sumber perjuangan yang tulen serta hala tuju yang jelas .

Subjek yang kedua : USLUB YANG MUNAASIB

Iaitu approach yang bersesuaian terhadap strategi dan realiti serta efektif terhadap sasaran ( madu'u ) . Jua mengambil pendekatan yang responsif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah .

Subjek yang ketiga : DAKWAH YANG SYAMILAH

Iaitu penerangan yang menyeluruh berlandaskan objektif dan matlamat suci perjuangan . Melampaui tembok pemisah yang dibina oleh musuh jega melepasi kejumudan kelompok sendiri .

Subjek yang keempat : SIASAH YANG RAASYIDAH.

Iaitu politik yang memimpin dan menyelamatkan ummah dari cengkaman nafsu liar penguasa toghut dan zalim serta kejam melalui pendekatan yang berhemah dan berhikmah .

Justeru itu saya merasakan sayugianya kita memperkasakan sistem Jalur Lebar dakwah dan siasah parti yang bersifat online , fulltime dan borderless .

Saya juga mempunyai 5 perhatian untuk diteliti oleh kita semua :

Perhatian 1 :

Penerangan atau dakwah kita jangan hanya berlegar dengan skima atau trend pengupasan isu semata - mata sebaliknya kita mahu dakwah atau penerangan yang berjaya membentuk thaqafah ( knowledge ) ahli dan wa'iyah ( kesedaran ) ummah , yang mesti tegak di atas 4 matlamat ( prinsip ) umum dakwah dan siasah kita :

1. Tamkiin Li Deenillah ( Memperteguh Perlaksanaan Agama Allah )
2. Iqaamatud Daulatil Islam . ( Mendirikan Kedaulatan Islam )
3. Ia'adatul Khilafah ( Mengembalikan Khilafah )
4. Tabliighul Islam Linnaasi Kaafah ( Menyampaikan Islam kpd Masyarakat seluruhnya )

Perhatian 2 :

Orientasi perjuangan kita mesti bebas sepenuhnya dari tanggapan atau prinsip songsang yang hanya membawa mesej penerangan atau dakwah kita berhenti di pintu bilik pembuangan undi di hari pilihanraya semata - mata atau dalam erti kata lain , penerangan / dakwah yang hanya untuk memancing undi .

Tasawwur kita mestilah diperbaiki khususnya penerangan / dakwah kita terhadap non muslim bukan bertujuan pancing undi tetapi ianya bersifat jangka panjang untuk mereka kenal dan terima perjuangan kita .

Apa yang kita mahu ialah penerangan atau dakwah yang berjaya meledakkan daya insaf dan sedar dikalangan masyarakat terhadap masuuliyah ( tanggungjawab ) mereka menjadi seorang hamba Allah / khalifah Allah dan akhirnya melayakkan mereka menjadi warga syurga Allah swt . Inilah prinsip penerangan atau dakwah nabi Muhammad saw. Inqaazunnas a'nin Naar ( menyelamatkan manusia dari api neraka .)

Perhatian 3 :

Jangan biarkan unjuran dan kitaran peneranganatau dakwah kita tidak melepasi garis sempadan daerah sendiri. Penerangan / dakwah yang hanya berfungsi dari pintu surau ke pintu masjid , dari pintu markaz ke pintu pusat tarbiyah .

Sedang sasaran ( madu'u ) penerangan / dakwah kita diwakili oleh pelbagai lapisan masyarakat , budaya dan agama malah juga pelbagai latar belakang politik , ekonomi dan sosial . Demikian juga pendekatan dakwah kita jangan hanya di atas platform majlis rasmi tetapi juga di majlis tidak rasmi.

Bertolak dari sini , suka saya tegaskan bahawa kita mesti menguasai modul Dakwah Fardiyyah iaitu dakwah / penerangan yang berasaskan personal contact dengan pendekatan :

Politik Kasih Sayang
Politik Rapat Jurang
Politik Tambat Hati

dan menjadikan kita Duta Penyelamat dan Kasih Sayang . Sementara itu persoalan titik bengek , perbedaan pendapat seperti isu muqaabalah usahlah dijadikan satu hambatan kepada perjuangan kita nan suci ini . Bukankah perjuangan kita sudah matang dan melewati usia emas !

Kata Asy Syeikh Rashid Redha ( dipopularkan oleh Imam al Banna ) :

نتعاون فيما اتفقنا عليه و نعزر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه

Kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati dan kita bertolak ansur dalam perkara yang kita berbeza padanya .

Perhatian 4 :

Realiti penerangan / dakwah kita dewasa ini sedang melintasi zon kelabu iaitu zon demokrasi yang tidak demokratik . Satu zon yang menyaksikan sandiwara negara demokrasi yang sangat jelek dan memualkan kita . Sekalipun cuba dipulih kononnya oleh UMNO dan BN , nyata ia hanya satu lagak untuk mengelirukan rakyat agar terus memberi sokongan kepada mereka .

Lantaran itu , sistem penerangan / dakwah kita mesti peka dan sensitif dalam menghadapi suasana seperti ini . Lajnah Penerangan dan Jabatan Penerangan sewajarnya menjadi organ yang paling sibuk mengendali dan mendepani situasi sebegini .

Bertindak laksana Tariq bin Ziyad yang membakar kapal untuk tidak memungkin mereka berpatah pulang melainkan terus mara membawa panji Islam . Begitu juga Uqbah bin Nafiq yang bermunajat : " Ya Allah , kiranya aku tahu di seberang lautan ini masih ada daratan dan manusia nescaya aku renanginya untuk menjulang bendera Islam di sana " .

Jangan rasa kerdil dan hina untuk membawa risalah Islam ini ke tengah masyarakat biarpun 1001 nista dilemparkan kepada kita . Prinsip kita turun ke medan ialah :

عش كريما أو مت شهيدا

Hidup ( kalau nak hidup ) sebagai orang yang mulia dan Mati ( kalau nak mati ) sebagai orang yang syahid .

CABARAN YANG TERPAKSA DIDEPANI

Kita mesti menggaris strategi dan merencana gerakkerja yang efektif guna mendepani cabaran. Cabaran yang mesti kita depani antaranya ialah :

Cabaran undemokrasi
Cabaran kekeliruan agama yang dicipta
Cabaran Kejahilan Ummah
Cabaran Kelesuan Ulamak
Cabaran Konspirasi Pemerintahan UMNO dan BN dengan agenda jahat mereka untuk menghalang perlaksanaan dan penghayatan Islam dikalangan rakyat.

Perhatian 5 :

Aktiviti penerangan / dakwah kita mesti dipastikan agar tidak bersifat stereo type dan terikat dengan aktiviti tradisi . Saya tidak menafikan keupayaan dan keberkesanan aktiviti tradisi dalam penerangan / dakwah kita seperti ceramah , kuliah dan sebagainya , tetapi wajar kita responsif dengan perkembangan semasa yang memerlukan kita lebih advance dari pihak musuh .

Inilah yang telah dipertegaskan oleh al Marhum Abu Hasan Ali An Nadwi :

الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع

Integrasi antara warisan tradisi yang soleh dengan penemuan - penemuan baru yang bermanafaat.

Berasaskan kesedaran ini , kita mesti laksanakan beberapa misi penting .

Misi pertama :

Mengkaderkan petugas penerangan / dakwah yang mampu , bukan sahaja sebagai pemidato yang berkaliber tetapi juga mewarisi syakhsiyyah kepimpinan wibawa sehingga berkeupayaan menyahut keperluan penerangan / dakwah masa kini , seperti dialog dan debat intelektual berhadapan dengan semua pihak termasuklah golongan Islam Liberal atau golongan sekular .

Misi Kedua :

Mengaktifkan hubungan dan penerangan ( dakwah ) sehingga ia menjadi hotlink antara kita dengan pelbagai kaum dan agama . Manual pendekatan berkesan mestilah diketahui dan dilaksanakan .

Media seperti Harakah sayugianya pula meneroka satu ruang berita dalam bahasa Mandarin dan Tamil walaupun terhad sebagai langkah permulaan setelah kita mempunyai english section .

Saya juga merasakan perlunya Suruhanjaya ( dalaman ) Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Harakah ditubuh . Bukanlah bertujuan untuk menyiasat penyelewengan kerana saya percaya tiada penyelewengan tetapi maksud saya untuk memberi nafas baru dan meningkatkan prestasi Harakah ( seperti mutu pemberitaan ) termasuk mengkaji keberkesanan sistem edaran Harakah kepada umum .

Sewajarnya kita kena insaf bahawa Harakah adalah Lidah Rasmi Gerakan Islam PAS . Pasti sahaja ia tidak boleh tampil membawa glamour atau publisiti seperti Mastika , Metro dan lainnya dengan hanya melihat kepada bagaimana mahu melariskan jualan.

Saya juga tidak setuju jika Harakah hanya dilihat sebagai akhbar politik yang hanya sarat dengan penjelasan isu tetapi perlu seimbang dalam membawa mesej perjuangan . ( siasah , dakwah dan tarbiah ) Sebagaimana saya juga akan terkilan andainya Harakah ( cetak dan online ) hanya menjadi lidah rasmi kepada tokoh - tokoh tertentu bukannya jamaah .

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI