SATU LAGI UJIAN - AGENDADAILY


Satu lagi ujian…September 15, 2008 : 07.06 AM--->
Di ukur dari reaksi setakat ini nampaknya UMNO akan melalui ujian besar pada keutuhannya dalam menghadapi isu peralihan kuasa dari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini berikutan adanya pandangan pro dan kontra keatas perlu atau tidak keputusan yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi UMNO dan kabinet hendak dilaksanakan pada tahun 2010 dibawa ke bawah yakni mesyuarat UMNO Bahagian selama sebulan yang akan berlangsung mulai 9 Oktober ini. Para pemerhati politik menduga mahu tak mahu besar kemungkinan keputusan UMNO Bahagian itu akan diterjemahkan dalam bentuk pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Walaupun ada suara-suara kalangan pimpinan UMNO yang tidak mahu ia diubah tetapi semakin ramai yang bersetuju dengan pandangan Najib ia perlu diserahkan kepada bahagian-bahagian UMNO setelah hal dibangkitkan oleh Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ahad Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib turut bersetuju bahawa pelan peralihan kuasa itu perlu mendapat kelulusan dari persidangan perwakilan UMNO bahagian. Bagaimanapun Naib Ketua Pemuda UMNO Kahiry Jamaluddin mempersoalkan kenyataan Muhyiddin. Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebelum itu adalah antara mereka yang menyokong cadangan ia diserahkan kepada bahagian buat penentuan. Jumaat Najib berkata kepada para wartawan selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di Kuala Lumpur bahawa beliau menyerahkan kepada anggota UMNO untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa itu perlu dilakukan. Najib berkata dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua UMNO bahagian, beliau telahpun menyatakan bahawa pelan itu mesti mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian UMNO, khususnya dalam persidangan perwakilan tahun ini. "Oleh itu, kerana UMNO yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya.
Beliau memberi reaksi itu ekoran kenyataan Muhyiddin di Singapura hari Rabu menggesa kedua-dua pemimpin itu supaya menimbangkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama. Perdana Menteri bagaimanapun berkata berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana tarikh peralihan kuasa itu difahami dan dipersetujui oleh MT UMNO serta Kabinet.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang akan tawar diri bertanding jawatan Presiden UMNO pula berkata cadangan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO tidak ada dalam perlembagaan parti. "Ahli-ahli yang patut memilih pemimpin. Pemimpin tak boleh menentukan berapa lama nak duduk , bila nak turun kecuali apabila dia nak berhenti," katanya. Muhammad berkata kepada para wartawan selepas satu majlis di Pekan Ahad bahawa UMNO Bahagian boleh bermesyuarat berpandu kepada keputusan yang dibuat. “Itu terpulang kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing," katanya.
Beliau berkata apa yang diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi sebelum ini adalah keputusan di peringkat tertinggi dan apa yang disebut Najib itu peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu hendaklah mendapat "endorsement" di peringkat akar umbi. Muhammad berkata setiap orang ada pandangan masing-masing, tapi apa yang diputuskan nanti ia kenalah diterimalah.
Bercakap kepada para wartawan selepas satu majlis di Kudat,Sabah,Khairy berkata apa yang dibangkitkan oleh Muhyuddin seperti wujud pertikaian terhadap Ketua Kerajaan kerana Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah orang yang sama.
Baginya sebagai menteri kenyataannya telah melanggar prinsip sebagai salah seorang menteri kabinet.
Menurut Khairy sepatutnya mana-mana menteri perlu patuh kepada prinsip dan tanggungjawab bersama Kabinet dan perlu menyokong kepimpinan kerajaan. Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur kenyataan Najib yang menyerahkan kepada anggota parti untuk memutuskan mengenai peralihan kuasa kepimpinan parti adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO.
Mengikut Perlembagaan UMNO, katanya, kepimpinan pelbagai jawatan tertinggi parti ditentukan oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung yang dipilih dari peringkat bahagian. Beliau berpendapat permuafakatan yang dipersetujui, yang akan menyaksikan Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada Jun 2010, adalah seperti satu perjanjian persefahaman (MoU) dan ia tidak mempunyai apa-apa ikatan kuasa undang-undang. "Permuafakatan itu baik...tapi keadaan semasa parti lemah. Hak orang bawah untuk menentukan kepimpinan parti tidak harus dirampas atau diabaikan," katanya.
Abu Zahar berkata kenyataan Najib juga adalah mengikut proses demokrasi. "MT tidak boleh ketepikan hak dan suara perwakilan dan setiap ahli perlu hormati perlembagaan parti. Jangan amal sindrom bisu dan sindrom pak turut," katanya. MUBARAK kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli dianggotai oleh bekas wakil rakyat dari kalangan anggota Parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri dan bekas senator. Abu Zahar berkata Perlembagaan UMNO juga menetapkan pemilihan setiap tiga tahun sekali untuk jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota Majlis Tertinggi (MT). "Inilah tempatnya tentukan pucuk pimpinan parti dalam tiga tahun akan datang," katanya. Mengenai kenyataan Muhyiddin yang menganggap peralihan kuasa antara Perdana Menteri kepada penggantinya pada Jun 2010 terlalu lama, Abu Zahar berkata Naib Presiden UMNO itu hanya mencadangkan peralihan kuasa itu dipercepatkan dan bukannya meminta Abdullah meletak jawatan. Timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah berkata anggota akar umbi mempunyai tiga permintaan utama iaitu mereka mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf dan isu-isu ditangani dengan cara yang berorientasikan mereka. Menurutnya demokrasi yang matang ialah apabila anggota parti berperanan aktif dalam membuat keputusan. "Dalam konteks ini kenyataan Datuk Seri Najib supaya UMNO bahagian menilai keputusan peralihan kuasa yang telah dibuat Majlis Tertinggi adalah tepat dan perlu disokong,"katanya.
Di peringkat UMNO Bahagian pula Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang Abdullah Mat Yassin bersetuju dengan Muhyiddin bahawa tempoh peralihan kuasa sekarang terlalu lama.
"Lebih baik peralihan kuasa itu berlaku pada Disember ini kerana pemimpin baru dapat mengukuhkan parti dan mengambil langkah awal dalam mencari keyakinan rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.
Ketua UMNO Bahagian Kampar Datuk Mohd Radzi Manan juga bersetuju bahawa tempoh peralihan itu terlalu lama dan menyambut baik kenyataan Najib supaya mesyuarat bahagian Umno menentukan perubahan dalam pelan peralihan kuasa itu. "Kenyataan ini membuka lembaran baru dalam proses pemilihan kepimpinan Umno. Timbalan Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Dr Rosnah Kassim pula berkata kenyataan Najib sebenarnya sudah lama dinantikan oleh ahli akar umbi yang mahu hak mereka menentukan pemimpin dikembalikan. Katanya peralihan kuasa itu dilihat menggambarkan pemimpin mahu menentukan tempoh berkuasa sedangkan hak itu sebenarnya di tangan ahli kerana mereka yang berhak mencalon dan memilih pemimpin.
Dalam pada itu antara yang paling keras menentang kenyataan Muhyiddin ialah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Katanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu hendaklah meletak jawatan atau disingkirkan jika tidak berpuas hati dengan tempoh peralihan kuasa yang ditetapkan pada 2010.
Pandangan sama dikongsi oleh Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas menyifatkan cadangan Zaid itu memang wajar memandangkan Muhyiddin seorang menteri yang dipilih oleh Perdana Menteri.
''Contohnya dalam ibadat solat, jika seorang makmum (pengikut) yang merasakan imam tidak betul, dia kena mufarakah (berpisah daripada imam)," katanya,Mohd. Alwi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid supaya Muhyiddin meletakkan jawatan jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah.
Menurut Zaid, jika Muhyiddin enggan berbuat demikian, Abdullah mempunyai kuasa untuk memecat beliau.
Mohd. Alwi turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin membuat kenyataan itu memandangkan beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Etika Pemilihan Parti.
"Apakah tindakan itu menunjukkan beliau beretika atau telah melanggar etika parti?'' soalnya.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan rasional dan agenda sebenar tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengeluarkan kenyataan tersebut di Singapura dan bukannya di negara ini.
''Sebenarnya, Muhyiddin boleh memberikan pandangannya semasa perjumpaan dengan Perdana Menteri setiap hari Rabu dan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), bukan secara terbuka di luar negara," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, isu peralihan kuasa sebenarnya sudah selesai dan tiada alasan untuk mana-mana pihak mempertikaikan lagi.
''Keputusan bersama juga sudah diperoleh di peringkat MT. Sehingga kini semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.
Seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria menjelaskan, Muhyiddin tidak boleh melanggar tradisi parti yang selama ini menghormati ketua.
Katanya, tindakan Muhyiddin yang menggunakan media dan melepaskan perasaan tidak puas hati dilihat tidak beradat dan hanya menghabiskan masa sendiri.
''Kita sokong keputusan MT. Ini tanggungjawab yang perlu diambil bersama dan bukan buat keputusan sendiri.
''Jangan bersikap tidak hormat ketua. Jangan membuat alasan keputusan pilihan raya untuk menyalahkan sesiapa," ujarnya.
Beliau berpendapat Muhyiddin seharusnya menarik diri dan meletak jawatan dengan seberapa segera.
''Seharusnya tarik diri dan letak jawatan. Masyarakat hendak tengok menteri yang jalankan tanggungjawab dan bukan politiking semata- mata," jelasnya.
Menteri Pelancongan yang juga Ahli Majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said pula menyifatkan tindakan Muhyiddin menggesa Perdana Menterisupaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa merupakan satu tindakan yang tidak manis.
"Apa yang saya kesalkan ialah sebelum ini kedua-dua pihak Abdullah dan Muhyiddin faham, akur serta menerima baik keputusan yang diputuskan MT UMNO.
''Tetapi kini tiba-tiba isu ini dibangkitkan semula... cara ini nampak tidak molek," katanya.
Azalina berkata, dalam hal itu, jika ada perkara yang berbangkit, ia wajar dibawa dan dibincangkan semula dalam MT UMNO.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menyifatkan isu itu tidak patut dibangkitkan lagi kerana tiada usul di peringkat akar umbi mengenainya semasa mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan baru-baru ini.
"Sebenarnya dalam apa juga perjuangan kita harus berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada keputusan mesyuarat yang menjadi tanggungjawab bersama.
"Sekiranya mana-mana pihak tidak menghormati keputusan bersama ini, maka adalah wajar mereka mengundurkan diri dan mengutarakan pendapat atas kedudukan peribadi mereka," katanya..- 14/9/2008

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI