SEMOGA KITA DINAUNGI KEPIMPINAN ULAMA


Roslan Shahir Mon Sep 08, 08


Bulan Ramadan ini sesungguhnya adalah bulan terbaik untuk bermuhasabah. Dalam keadaan berlapar dan berdahaga maka wajarlah kita bawa hati kita untuk mengkaji semula tindakan dan perbuatan kita selama ini apakah ianya telah memberikan manfaat dan faedah khasnya buat Islam ataupun kita rupa-rupanya selama ini berada dalam keadaan merugi dan membawa padah kepadanya


Memang sukar untuk berterus terang walaupun terhadap diri sendiri, tetapi mudah-mudahan keberkatan Ramadan akan mencetuskan keikhlasan sehingga membawa kita untuk mudah berterus-terang dan meneropong diri tanpa prejudis.
Di bulan inilah kita perlu mencuri peluang untuk banyak membaca dan mengikuti kuliah dan program agama bagi memantapkan kefahaman agama kita disamping memperbanyakkan membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktiqaf dan berdoa.
Ia laksana suatu persediaan bagi membolehkan kita mengharungi dengan jayanya bulan-bulan berikutnya di luar Ramadan nanti. Mengkoreksi diri setelah bermuhasabah adalah latihan paling mulia jika kita mampu melalui dan melaksanakannya.
Kalau sebelum ini kita berselisih pandangan, berlainan fikiran berhubung kaedah dan pendekatan, bercanggah fikiran, maka di bulan yang Allah perturunkan al Quran inilah sepatutnya kita bersedia membongkar kembali segala-galanya, serahkan penyelesaian kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., berdasarkan firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dikalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalams esuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya" (an Nisaa: 59)
Dan siapakah jika tidak yang lebih baik untuk kita gantungkan penyelesaian tadi selain mereka yang ahli di dalamnya. Tidakkah Rasulullah saw telah berpesan kepada kita bahawa ulamak itu adalah pewaris para Nabi.
Dalam ketiadaan Nabi dan Rasul maka ulamak Islam yang ikhlas dan beramal dengan ilmunya itulah yang sewajarnya menjadi rujukan kita, tanpa menafikan ada juga ulamak yang sebaliknya yang harus kita berwasapada darinya.
Bagi yang beramal dengan ilmunya dan menjiwainya pula itulah maka Allah telah meletakkan mereka pada makam yang istimewa dari kita yang awam ini. Tidak, mereka tidak maksum tetapi mereka dicampakkan dengan kelebihan dekat pada Allah lantaran ilmu dan amalan mereka itu. Allah SWT berfirman (Faatir : 28):
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun'"
Ulamak jenis ini adalah murrabi, mu'addib dan rabbani. Murrabi dalam ertikata mereka berusaha meningkatkan ketaqwaan kita bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan-Nya dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.
Mu'addib pula iaitu pendidik yang mendidik kita sebagai manusia yang benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia atau makhluk. Manakala Rabbani pula adalah mereka ini dekat dengan Allah, llmu mereka langsung diberi oleh Tuhan. llmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati.
Lantas dalam dunia yang serba penuh dengan pancaroba dan dugaan ini, selain kita bergantung hidup pada fakta, ilmu dan logik akal, sebagai seorang Muslim, kita terikat untuk tidak melepaskan diri dari tali ikatan kita dengan Allah SWT. Bagaimana caranya jika tidak kita berada bersama para ulamak dalam setiap suasana dan ketika. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan dan laluan, kini terpulanglah kepada kita untuk memilihnya ataupun tidak.
Allah SWT berfirman (al Ahzab: 1-3), Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
Dan ayat-ayat Allah ini diakhiri dengan ayat ke 4 yang berbunyi:
(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.
Saya berpeluang mengikuti kuliah subuh yang dipimpin oleh Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh pagi tadi yang telah menghurai dan menjelaskan dengan sungguh terperinci ayat-ayat di atas. Lalu apabila saya pulang sempat saya mendapatkan Tafsir al Jalalayn yang menghuraikan ayat ke 4 diatas sebagai:
Allah tidak meletakkan dua hati dalam tubuh mana-mana manusia. Ayat ini bermaksud menafikan tohmahan golongan musuh yang kononnya mereka memiliki dua hati lantas melaluinya mereka dapat berhujah lebih baik berbanding Muhammad yang punya hanya satu minda.
(God has not placed two hearts inside any man: [this was revealed] in order to refute those disbelievers who said that they each had two hearts with which they could reason better than Muhammad's single mind)
Mudah-mudahan kita terus diberi peluang untuk bernaung di bawah para ulama yang seumpama ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, selamat menjalankan ibadat puasa Ramadan.
(Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS)_

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI