Tukar portfolio, talian hayat Abdullah/Umno - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Sep 17, 08 | 5:23:23 pm MYT

SEREMBAN, 17 Sept (Hrkh) - Pertukaran portfolio yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini disifatkan sebagai satu lagi kaedah Abdullah menyelamatkan dirinya dan Umno

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakhdaily hari ini bagi mengulas senario kekalutan Abdullah merombak kabinet serta-merta.

Bernama melaporkan, Abdullah dan Dato' Seri Najib Tun Razak hari ini bertukar portfolio Menteri Pertahanan dan Kewangan sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Kedua-dua pemimpin juga komited dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini, dan untuk pemilihan Umno pada Disember ini, Abdullah akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan Najib sebagai Timbalan Presiden parti.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Mahfuz menyifatkan Abdullah merombak kabinet hanya kerana bimbang dengan senario dalaman Umno yang tidak menyebelahinya.

Malah pelan peralihan kuasa yang dirancang Abdullah-Najib tidak diterima kalangan Bahagian Umno, dan ini sedikit sebanyak menggoyahkan kedudukan Abdullah, katanya.

Mengapa Abdullah pegang pertahanan?

Selain itu ujar Mahfuz, terdapat kebimbangan dengan tindakan Abdullah mengambil portfolio pertahanan dari Najib kerana ini katanya mungkin untuk mempergunakan kementerian itu sebagai talian hayatnya.

"Saya bimbang dengan kedudukan Abdullah di Pertahanan yang memungkinkan penggunaan tentera jika keadaan mendesak tatkala mereka juga bimbang dengan senario perubahan kerajaan yang diusahakan Pakatan Rakyat," ujarnya.

Walaupun pada 16 September perubahan tidak berlaku, tetapi Abdullah sendiri bimbang dnegan ebarang kemungkinan dalam masa terdekat bahawa perubahan itu akan berlaku juga, kata Mahfuz.

Mahfuz juga menempelak kelemahan Abdullah yang baginya tidak bertanggungjawab terhadap portfolio lamanya sebagai Menteri kewangan selepas membentangkan Belanjawan 2009 yang belum sempat dibahas di Parlimen.

Tidak fikir hal rakyat

Akhirnya, kata Mahfuz Najib pula yang terpaksa menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Abdullah kerana kelemahan Abdullah sendiri.

"Ini satu signal jelas kepada rakyat bahawa kelemahan Abdullah sudah berada dikemuncaknya, dan perlu segera pertukaran kerajaan dilakukan, kata Mahfuz.

Mahfuz juga mempertikai keenganan kerajaan menurunkan harga minyak tatkala harga minyak dunia kini turun kepada USD 92 setong, dan janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak hanya palsu.

"Ini semua kerana Abdullah tidak memikirkan hal rakyat, tetapi hanya fikir selamatkan diri sendiri," katanya.

Terdahulu, Abdullah yang bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Najib di Putrajaya ini, berkata portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranannya yang amat penting itu terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Abdullah berkata dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan kini, beliau (Najib) boleh memainkan peranan yang lebih penting apabila berada di New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Ini kerana, sebagai Menteri Kewangan, Najib akan dapat menemui pelabur dan pengurus dana semasa di New York nanti, kata Perdana Menteri.

Abdullah turut mengumumkan Najib kini mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Abdullah.

Ganti Abdullah kelak

Najib pula berkata langkah Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri Kewangan menggambarkan keikhlasan Abdullah bahawa beliau adalah penggantinya kelak.

"Ia melambangkan keyakinan Perdana Menteri pada saya sebab saya akan sentiasa bincang dan rujuk pada Perdana Menteri, khususnya berkaitan dengan ekonomi, hala tuju ekonomi dan keutamaan ekonomi, supaya dasar-dasar kerajaan lebih jelas dan tepat," kata Najib.

Ditanya mengenai penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, Abdullah berkata: "Lagi turun lagi baik."

Harga minyak mentah dunia semalam mencatatkan US$92 setong.

Bagaimanapun Abdullah berkata penurunan harga minyak dunia itu juga akan menyebabkan pengurangan pendapatan Petronas.

Ditanya sama ada harga pengguna bagi petrol dan diesel akan dikurangkan, Abdullah berkata: "Tunggulah lain kali."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI