MEDIA INTERNET GUGAT KUASA UMNO / BN ?


Media internet gugat kuasa Umno/BN?
Suhaimi Taib Tue Oct 21, 08 11:28:34 am MYT
Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai niat tertentu khususnya terhadap media internet kerana parti itu percaya media tersebut mempunyai pengaruh terbesar mencetuskan idealisme rakyat hari ini sehingga mencapai tahap menggugat kuasa politik parti itu.

Kemenangan besar parti-parti yang kini masih dianggap pembangkang dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu sebagai bukti antara lain cetusan kempen media internet memberi kesan secara tidak langsung terhadap kemenangan tersebut.
Justeru Kabinet Kerajaan BN merasa bimbang dengan perkembangan ini sejak dari awal lagi sehingga antara lain mengambil tindakan terhadap pengendali-pengendali blog popular seperti Raja Petra Kamaruddin dan lain-lain atas dakwaan kononnya tulisan mereka mengancam keselamatan negara.
Dipercayai idea penubuhan Majlis Media Kebangsaan satu fenomena ketakutan BN terhadap perkembangan tersebut.
Idea dan komitmen majlis berkenaan dikatakan akan menjurus ke arah mencari jalan bagaimana media internet boleh dikawal secara efektif dengan apa cara sekalipun, sehingga tidak ada lagi media internet bermusuh dengan BN/Umno (kalau boleh).
Dilihat secara umumnya idealisme ini agak mustahil boleh berlaku kerana ruang siber terbuka luas bagaikan langit membumbungi bumi, tidak ada siapa yang boleh membuat sekatan.
Jika ada sekatan dibuat terhadap blog atau web yang dikendalikan oleh mereka terbabit sekalipun, ada jalan lain boleh diperolehi untuk membebaskan diri daripada halangan tersebut.
Adalah diharapkan pembentukan majlis media kebangsaan itu suatu idea positif ke arah mengiktiraf kebebasan media termasuk mengizinkan kritikan dibuat kepada mana-mana pertubuhan politik sama ada berorientasikan kerajaan ataupun pembangkang sebagai 'second opinion' untuk dikaji dan dinilai parti-parti terbabit.
Tidak dinafikan tulisan atau pandangan berbentuk perkauman dan subversif seharusnya dibendung melalui akta-akta tertentu dan ia menjadi etika kepada media terbabit.
Ertinya media sama ada internet, bercetak atau elektronik tidak lepas dari tanggungjawab menjaga atau turut menyumbang kepada keselamatan dan ketenteraman awam lebih dari segala-galanya. Ia adalah antara kontrak sosial yang perlu dijaga dan dipatuhi bersama untuk mengekal keharmonian negara dan rakyat berpanjangan.
Yang penting majlis media kebangsaan yang ingin dibentuk itu memberi kebebasan sepatutnya kepada media berinteraksi dan melontarkan idea untuk tatapan umum selagi ideanya tidak melangkaui batas undang-udang.
Etika kewartawan seharusnya digunapakai secara berkesan dalam melakari idea dan lontaran pemikiran serta menerbitkan maklumat untuk tatapan umum. Dipercayai terdapat blog atau web tertentu yang pengendalinya tidak berlatarbelakangkan bidang kewartawanan, tidak menitikberatkan soal etika tersebut.
Pemilik blog atau web seharusnya mengetahui etika berkenaan agar segala tidak tanduknya tidak dipertikaikan dari segi undang-undang atau dengan kata lain mereka terlepas daripada tindakan undang-undang jika ada orang tidak berpuas hati dengan isi kandungannya. - mns_

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI