NAJIB AKAN ROMBAK "BESI BERKARAT" DALAM KABINET ABDULLAH

Safar Jumaat
Wed | Oct 15, 08 | 4:21:38 pm MYT

APA sebab Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ahli-Ahli MT memutuskan untuk menangguhkan pemilihan Umno, dari Disember 2008 ke Mac 2009, tiada siapa yang tahu.


Ketika banyak pihak yang mendakwa, ia suatu usaha untuk melewat-lewatkan tarikh pengunduran Abdullah, dari Disember ke Mac, ada juga yang membuat telahan, Abdullah tentunya mempunyai strategi sendiri yang sukar dibaca.

Namun, apapun strategi yang Abdullah susun, semuanya sudah dilihat tidak menjadi. Ketika beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tahun 2003, apa sahaja yang dipegangnya, 'menjadi emas' hinggakan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum 11, 21 Mac 2004 mengejutkan banyak pihak.

Khabarnya yang paling terkejut dengan kemenangan besar itu ialah Dr Mahathir.

Ketika itu, kejayaan Abdullah itu dianggap mampu memadamkan rekod kejayaan yang sudah dibuat oleh Dr Mahathir.

Tidak hairanlah kalau banyak benda yang Abdullah 'batalkan' rancangan Dr Mahathir, yang menyebabkan bekas Perdana Menteri itu, menyerangnya.

Yang penting, Abdullah sudah berjanji, beliau tidak akan melepasi bulan Mac untuk duduk terus sebagai Perdana Menteri, mentelah enggan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno.

Dua suara anak muda yang menyatakan tidak bersetuju dengan penangguhan itu ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Exco Pemuda, Dato' Mukhriz Dr Mahathir.

Namun, tidak pula kedengaran suara-suara 'orang tua' yang turut menyatakan tidak bersetuju dengan penangguhan tersebut, walaupun cakap-cakap di belakang, rata-rata bertanya; "kenapa Abdullah (bukan MT) membuat penangguhan?"

Suasana sekarang, apabila pencalonan bahagian-bahagian sudah bermula, keresahan tentunya menyerang penyandang jawatan. Sama ada yang sedang duduk di kerusi MT ataupun, yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Mereka yang akan menang, pastinya mengharapkan pucuk pimpinan memberi pertimbangan kepada 'kemenangan mereka' dan dalam masa yang sama, yang kalah pasti menunggu masa digugurkan.

Bagi yang sudah melepasi quota pencalonan menduduki kerusi MT, tentunya lapang dada, tetapi yang masih belum cukup, terkial-kiallah mereka mencari.

Jika ada yang masih ingat, pemilihan 2004, terdapat tiga Menteri kecundang dalam pemilihan. Dua darinya digugurkan dalam satu rombakan dan seorang lagi, tidak dilantik semula menduduki kerusi Menteri walaupun dipilih bertanding dalam pilihan raya umum.

Tiga Menteri itu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Dato' Dr Mohd Shafie Salleh dan Dato' Seri Azmi Khalid. Abdul Kadir dan Dr Shafie digugur dari jawatan Menteri dan kemudiannya langsung tidak disenaraikan bertanding dalam pilihan raya, manakala Azmi kekal sebagai Menteri sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi selepas menang, dia hanya berjawatan 'Ahli Parlimen biasa'.

Perdana Menteri biasanya mengatakan, kemenangan dalam MT tidak mempengaruhinya membuat perlantikan tetapi, kebiasannya penyandang jawatan kanan dalam kerajaan, datangnya dari penyandang jawatan kanan juga dalam parti.

Perdana Menteri sendiri adalah Presiden Umno, manakala timbalannya, adalah Timbalan Perdana Menteri. Bagi jawatan Naib Presiden, biasanya mereka adalah Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan dan paling tidak, Menteri Pertanian, sebuah kementerian yang mempunyai banyak agensi di bawahnya, selain mempunyai jumlah kakitangan yang cukup besar.

Persaingan kali ini, memperlihatkan penyandang jawatan Menteri dan Menteri Besar akan menang mudah kerana cukup ramai yang 'menghantar nyawa politik' masing ke kerusi Naib Presiden dan Timbalan Presiden.

Tentunya, dari tiga yang bertanding, dua akan kecundang, di kerusi Timbalan Presiden manakala 10 yang bertanding di kerusi Naib Presiden, akan ada tujuh yang 'pengsan'.

Jika Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib meneruskan hasratnya menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, nyawa politik mereka sudah boleh diteka.

Jawatan Ketua Penerangan Umno juga mungkin terlepas ke tangan orang lain, ketika bakal Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak mahu tenaga-tenaga muda mengelilinginya.

Tidak mustahil Mohd Ali atau Muhammad memenangi kerusi Timbalan Presiden kerana perwakilan Umno yang berjumlah 2,500 oranglah yang bakal membuat penentuan.

Jika salah seorang dari mereka menang, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dan seorang lagi) yang akan 'terpelanting'.

Cukup seronok menyaksikan, siapakah antara Dato' Seri Hishammuddin Hussein, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Dato' Seri Mohd Shafie Afdal, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato' Seri Dr Rais Yatim yang akan �gugur� di medan peperangan ini.

Manakala calon-calon Naib Presiden yang tidak berjawatan seperti Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, Dato' Seri Shahidan Kassin, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Annuar Musa, yang mungkin tidak kehilangan apa-apa, malahan jika menang, mereka pasti akan mendapat habuan.

Ketika yang menang belum tentu mendapat apa-apa jawatan, malahan tidak ada janji mereka akan terus dikekalkan dengan gelaran YB.

Contoh paling menarik, dalam era Abdullah menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tengku Putera Tengku Awang yang menang sebagai Ahli MT, digugurkan dari kerusi Timbalan Menteri Kewangan dan tidak disenaraikan sebagai calon dalam pilihan raya yang lepas.

Begitu juga dengan Dato' Abdul Rahman Bakar, menang kerusi MT, dikekalkan sebagai Timbalan Menteri tetapi digugurkan dari bertanding pilihan raya.

Kali ini, kalangan mereka yang tidak berjawatan nampaknya lebih cerah untuk menang kerusi MT, malahan ada yang meramalkan, calon Naib Presiden pun akan ada yang tanpa jawatan, boleh menang.

Jika ini berlaku, tidak mustahil untuk Najib menyusun semula kabinetnya dengan wajah-wajah baru, walaupun ada diantaranya, yang terpaksa dikekalkan kerana 'kepakaran' tertentu. Ramai yang menjangkakan, Najib akan menyenaraikan Dato' Seri Dr Jamaluddin Jarjis dalam kabinetnya nanti.

Jika era Tun Dr. Mahathir yang datangnya dari Kedah melantik Tun Daim Zainuddin juga dari Kedah sebagai Menteri Kewangan, Abdullah dari Pulau Pinang pula menamakan Tan Sri Nor Mohamed Yakcob juga dari Pulau Pinang sebagai Menteri Kewangan 11, tidak mustahil kali ini, Najib dari Pahang akan mencari orang Pahang menjadi Menteri Kewangan.

Kebetulan, Dr Jamaluddin adalah bekas Menteri Kewangan 11, dalam era kepimpinan Dr. Mahathir.

Ramai juga menjangkakan, Najib akan mengekalkan fotfolio Kewangan di samping Perdana Menteri, manakala jika Muhyiddin menang kerusi Timbalan Presiden, selain dari dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib dijangka melantik Muhyiddin menjadi Menteri Pertahanan. Jika tidak, Najib akan ke Pertahanan semula, manakala Muhyiddin di Kewangan.

Berbeza pula dengan Muhammad. Jika Muhammad yang menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib dijangka mengekalkan Muhammad di Kementerian Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah.

Soal siapa yang bakal mengisi tempat-tempat itu sebenarnya tidak sehebat cerita, siapa yang akan gugur dan 'besi-besi berkarat' dalam kabinet Abdullah pastinya akan digantikan.

Siapa ya besi berkarat itu? - mr _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI