15 Oktober 2008

KERAJAAN PERAK MAHU KEM TAHANAN KAMUNTING DIPINDAH - MB PERAK

Wed | Oct 15, 08 | 12:25:59 pm MYT

KETEREH, 15 Okt (Hrkh) - Kerajaan Perak sekali lagi mengulangi gesaan supaya Kem Tahanan Kemunting dipindahkan ke negeri lain memandangkan pusat tahanan itu mendatangkan nostalgia negetif bagi rakyat Perak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin berkata, cadangan itu pernah disebut kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu pertemuan selepas pilihan raya umum lalu.

"Namun Perdana Menteri buat tidak endah. Kami tidak rela kem tahanan itu terus dibiarkan berada Perak kerana setiap tahun isteri tahanan menangis ketika datang menziarahi suami di kem tersebut.

"Saya tidak sampai hati melihat kesedihan keluarga tahanan ISA dan lebih baik kem itu dipindahkan ke negeri lain termasuk Johor yang menjadi darul Umno. Johor sesuai menjadi muzium bagi ISA," katanya pada ceramah di padang Majlis Daerah Ketereh di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh dan Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim.

Padang tempat berlangsung ceramah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai yang pertama kali dapat melihat dari dekat wajah Menteri Besar Perak.

Beliau sejak dua hari lalu menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Besar di Kuala Terengganu. Dan hari ini pula berlangsung Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Selepas ceramah beliau bergegas semula ke Kuala Terengganu.

Mohd Nizar juga berkata, anak-anak Perak di kalangan penduduk miskin yang berjaya melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi tahun ini diberi bayaran saguhati sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tujuan itu.

"Ekoran itu ada ibu bapa datang menemui saya menyatakan perasaan gembira kerana mereka tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Menurutnya juga ketika harga minyak dinaikkan Jun lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk memberi bantuan kepada penduduk miskin.

"Saya minta setiap Adun membawa bantuan makanan dan wang tunai ke kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada rakyat mereka," ujarnya.

Menurut beliau sejak menerajui kerajaan Perak Mac lalu banyak perubahan ke arah kebajikan rakyat diberi perhatian, sedangkan perkara itu tidak diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini termasuk hak pemilikan tanah di kampung-kampung baru. - mj _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan