DAPAT 'A' TETAPI TIDAK TAHU SAINS


Dilulus terbit pada Sunday, November 30 @ 05:20:53 MYT oleh TokBatin

Oleh alifx59

"Dari blog UniPTS:
Saya adalah guru yang mengajar sains. Dilema PPSMI ini memang bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng. Memang ramai juga yang mahu ia dikekalkan dalam bahasa inggeris.

Namun, saya lebih nampak ia membawa banyak keburukan dari kebaikkan. Saya sangat yakin, kita masih boleh berjaya dengan bahasa kita sendiri.


Malah kita tetap boleh lebih berjaya jika kita tidak menjadikan bahasa inggeris sebagai bahasa kedua sekalipun dalam segala aspek di Malaysia. Lihat contoh di Jepun, Jerman, Rusia dan pelbagai lagi negera maju lain yang tidak langsung mengutamakan bahasa Inggeris. Mereka cukup bangga dengan bahasa mereka. Kenapa tidak kita?

Kita tidak sepatutnya menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu yang utama. Sebaiknya, kita perlu pergiatkan lagi usaha-usaha penterjemahan segala ilmu kepada bahasa kita sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh Jepun.

Saya pernah terbaca bagaimana Jepun boleh maju dengan begitu cepat selepas zaman kejatuhannya. Raja mereka telah menghantar begitu ramai rakyatnya ke luar negara untuk memperoleh ilmu. Kemudian, golongan inilah yang telah menukarkan segala ilmu yang mereka perolehi kepada bahasa ibunda mereka dan mengajarnya kepada rakyat yang lain.

Akhirnya rakyat Jepun hidup begitu maju dengan hanya menggunakan bahasa mereka sendiri. Malah, rakyat asing yang ingin bekerja di tempat mereka juga mesti menguasai bahasa mereka. Jika hanya tahu berbahasa Inggeris pasti akan menghadapi masalah untuk mencari kerja di sana. Begitulah mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri.

Walaupun keperluan menukarkan semula Matematik dan Sains kepada bahasa Melayu, saya tetap merasakan bahasa Inggeris itu penting. Namun, bukan dengan cara seperti ini. Kita tidak boleh mengorbankan perkara lain untuk memudahkan perkara lain.

Saya lihat PPSMI ini telah banyak mengorbankan Matematik dan Sains semata-mata untuk memajukan English. Adakah ini patut?

Sebagai guru yang mengajar subjek ini, saya rasa sangat sedih kerana pelajar-pelajar tidak lagi kerap bertanya dan berbincang di dalam kelas seperti dahulu. Malah, semakin ramai yang tidak dapat menguasai subjek ini walaupun pada topik-topik yang sangat senang.

Saya merasakan pemilihan subjek sains dan matematik untuk meningkatkan bahasa Inggeris adalah sesuatu yang silap. Kerana pelajar terbeban dengan dua perkara - memahami bahasa Inggeris dan memahami sains/matematik. Tetapi, jika kita tukarkan kepada subjek kemahiran - mungkin boleh. Ini cuma pandangan saya sahaja. Lagipun, beberapa tahun yang lalu, saya pernah mengajar lukisan dan IT dengan menggunakan bahasa Inggeris (sekadar untuk praktis sendiri) dan saya dapati pelajar saya dapat mengikuti kelas saya dengan baik. Keadaan tidak sama seperti semasa saya mengajar sains!

Seperkara lagi, saya berasa cukup hairan apabila ramai pelajar saya yang mendapat A atau B dalam Sains UPSR, tetapi banyak perkara asas sains yang tidak diketahui oleh mereka. Perkara ini tidak pernah berlaku semasa di zaman bahasa melayu dulu. Seolah-olah kualiti pelajar semakin menurun. Pada kebiasaannya, kita boleh menilai kemampuan menguasai sesuatu subjek dengan melihat keputusan mereka yang lalu (UPSR) walaupun ianya tidak semestinya begitu. Adakah ini yang kita mahukan?

Saya berharap, pelbagai pihak dapat memikirkan semula pelaksanaan PPSMI ini dengan sebaiknya. Buatlah kajian lebih lanjut akan kesannya kepada anak bangsa kita sendiri dan kesannya kepada bahasa ibunda yang tercinta ini.

CIKGU NURUL

Kiriman: www.sokongpr.blogspot.com


"

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI