SIAPAPUN PRESIDEN AMERIKA, DASAR PRO-YAHUDI TIDAK BERUBAH


Wan Nordin Wan Yaacob Foto Nasir Sudin Mon Nov 03, 08 1:21:55 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) - Pengerusi Centre For Internationals Muslim Minority Affairs (CIMMA), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan siapa pun bakal Presiden Amerika Syarikat dalam pemilihan esok, dasar pro-Yahudi tidak akan berubah.


Malah katanya, sekali pun Barrack Obama menang besar ke atas John McCain, namun tekanan Yahudi ke atas pentadbiran Amerika tidak akan berubah.
"Sememangnya Amerika adalah sekutu kepada negara Israel, segala polisi yang berkaitan menentang Yahudi tidak akan dibenarkan, kerana semua calon presidennya mengharapkan dengan adanya sokongan dari Yahudi untuk menang mudah dalam pemilihan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Masjid KLCC hari ini.
Justeru, sebarang keputusan pilihan raya esok tidak akan mengubah apa-apa, namun CIMMA masih menaruh harapan jika Obama menang beliau akan mengubah sedikit polisi terhadap Islam, kata Azmi.
"Kita sedia maklum, Obama mula dibayangi sokongan dari Yahudi, kita bimbang jika ianya satu tekanan yang hanya akan menjadikan Amerika serupa sahaja sewaktu zaman George W Bush memerintah atau sebelumnya yang dilihat pro-Yahudi," ujarnya.
Namun CIMMA melahirkan harapan agar Presiden yang bakal dipilih esok akan mengubah sedikit dasar tekanan ke atas negara Islam, katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Amerika dilaporkan akan mengadakan pilihan raya Presiden kali ke-56 esok.
Pemilihan kali ini dibayangkan bakal mengubah landskap geopolitik dunia dan menentukan sama ada seorang pemimpin kulit hitam, Obama diberi peluang oleh rakyat Amerika untuk menduduki 'Rumah Putih'.
Selain mempertandingkan jawatan Presiden, pilihan raya kali ini akan turut memilih Naib Presiden negara kuasa besar itu.
Tumpuan pilihan raya kali ini ialah kepada dua calon utama daripada dua parti berpengaruh di Amerika iaitu Republikan dan Demokrat.
Parti Republikan telah mencalonkan John McCain, yang juga Senator dari Arizona bertanding sebagai Presiden bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Palin, 44, untuk jawatan Naib Presiden.
Parti Demokrat pula mempertaruhkan Obama, 47, seorang Senator dari Illinois, bertanding jawatan Presiden dan Senator Joseph Robinette Biden Jr. atau lebih dikenali sebagai Joe Biden, 66, sebagai Naib Presiden.
Pilihan raya itu turut disertai oleh beberapa calon daripada parti lain serta calon bebas termasuk bekas ahli Kongres, Bob Barr, calon Presiden daripada Parti Pendukung Kebebasan (Libertarian Party) yang berpasangan dengan Wayne Allyn Root, selain Chuck Baldwin dan Darrell Castle daripada Parti Perlembagaan (Constitution Party).
Bekas ahli Kongres wanita, Cynthia McKinney dan Rosa Clemente daripada Parti Hijau (Green Party) serta calon bebas Ralph Nader dan Matt Gonzalez turut mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.
Pilihan raya kali ini diadakan serentak dengan pemilihan Senat di 32 buah negeri, pemilihan Perwakilan di semua negeri dan pemilihan Gabenor di 11 buah negeri.
Selain itu, beberapa pungutan suara akan turut diadakan di beberapa negeri.
Senarai perwakilan yang dibenarkan untuk menganggotai badan perwakilan pemilih telah ditetapkan mengikut negeri.
Berdasarkan tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh Reuters/C-SPAN/Zogby, Obama masih selesa mendahului McCain dengan kelebihan enam mata.
Obama dikatakan menerima sokongan padu di beberapa negeri seperti California, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Iowa, Maine, Maryland, Massachusetts, Michigan, Minnesota, New Hampshire, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Washington dan Wisconsin.
McCain pula dikatakan bakal menerima sokongan daripada pengundi di Alabama, Alaska, Arkansas, Idaho, Kansas, Kentucky, Louisiana, Mississippi, Nebraska, Oklahoma, South Carolina, South Dakota, Tennessee, Texas, Utah, West Virginia dan Wyoming.
Pilihan raya Presiden Amerika kali ini dilihat penting kerana ia bakal mencatat beberapa perkara yang akan terpahat dalam lipatan sejarah negara itu.
Selain Obama sebagai calon Presiden pertama dari komuniti kulit hitam serta McCain sebagai Presiden tertua pada usia 72 tahun, kedua-dua mereka merupakan calon Presiden pertama yang memegang jawatan Senator.
Obama dan McCain juga calon Presiden Amerika pertama dilahirkan di luar tanah besar Amerika. Obama dilahirkan di Honolulu, Hawaii, sementara McCain di Coco Solo dalam Zon Terusan Panama.
Palin juga mencipta sejarah sebagai calon wanita pertama bertanding jawatan naib presiden, manakala Biden pula calon pertama penganut Roman Katolik.
Pilihan raya itu juga buat kali pertama sejak 1928 menyaksikan calon Presiden bukan daripada penyandang jawatan, sementara bagi jawatan Naib Presiden pula sejak 1952.
Presiden dan Naib Presiden Amerika dijadual dilantik secara rasmi pada 20 Januari 2009. - mks. _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI