Media cipta isu liwat di Permatang Pauh, Kini hangatkan hudud di Kuala Terengganu

Wartawan Kita
Thu | Dec 25, 08 | 3:08:30 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Dis (Hrkh) - Masihkah anda ingat, menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu, isu dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda penting media harian.

Dan kali ini isu hudud pula diuar-uarkan dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Mungkinkah kegagalan media membantu Umno di Permatang Pauh turut berulang di Kuala Terengganu.

Inilah kelebihan yang ada pada media harian berbahasa Melayu di negara ini. Mereka sedia menggantikan tempat Umno bagi menyerang Pakatan Rakyat. Umpama lebih sudu dari kuah.

Media menjadi alat untuk menakutkan kira-kira 11 peratus pengundi bukan Islam di Kuala Terengganu terhadap PAS kerana imej hudud yang dipalitkan.

Nawaitu kedua, bagi memecahkan Pakatan Rakyat dengan melaga-lagakan DAP dengan PAS.

Sedangkan pada Wacana Perdana yang diadakan di sini 20 Disember lalu amat jelas apabila pensyarah undang-undang UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari meletak tanggungjawab melaksanakan hudud di bawah kerajaan pusat.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan selagi tiada pindaan yang dilakukan di peringkat parlimen," katanya.

Lihat apa jadi dengan Enakmen Jenayah Syariah II (hudud) yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993, sehingga kini dapat dilaksanakan kerana halangan perlembagaan.

Rang Undang-Undang berkaitan hudud turut dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika ditadbir di bawah PAS pada 1999, juga terhalang daripada dilaksanakan.

Oleh itu, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa pada wacana yang sama mencadangkan kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya membawa usul pada Perhimpunan Agung Umno bagi mendesak kerajaan pusat melaksanakan hudud.

Bagaimanapun menantu Perdana Menteri itu tidak menjawab sindiran tersebut sebaliknya memberitahu selesa dengan apa yang ada sekarang.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sebagai penganut ajaran Islam, isu hudud tidak sepatutnya berbangkit kerana ia menjadi tanggungjawab semua pihak.

Umno sokong hudud atau tidak

"Sepatutnya Umno dan kerajaan pusat berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana telah berusaha melaksanakan hukum tersebut.

"Ini kerana Pemuda PAS optimis dengan terlaksananya hukum Islam secara total, gejala sosial dan isu-isu jenayah akan selesai," katanya di sini.

Sehubungan itu beliau mencabar mana-mana pemimpin Umno termasuk Pemuda Umno Kelantan menyatakan pendirian sama ada menerima hudud atau menolak.

Setiausaha Pemuda Umno Kelantan, Anuar Sapian hari ini dilaporkan mencabar PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya matlamat sebenar parti itu melaksanakan hudud gagal.

Abdul Latif berkata, tidak berbangkit PAS keluar Pakatan Rakyat kerana pihak yang menghalang pelaksanaan hudud ialah Umno.

Dalam perkembangan yang sama Husam berkata, tindak tanduk media massa sekarang dianggap tidak beradab semata-mata untuk memenangkan Umno pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Kata beliau dalam sesebuah negara demokrasi, mana-mana parti diberikan hak untuk memperjuangkan agenda masing-masing, begitu juga PAS.

"Jadi ada dua peringkat di sini, iaitu peringkat pertama perjuangan PAS serta agendanya seperti ini perlu diteruskan, kedua dalam kelompok Pakatan Rakyat mana-mana polisi mesti dibuat atas persetujuan bersama," ujarnya.

Multilateral bukan unilateral

Kata Husam apa-apa polisi sekalipun mesti dibuat secara multilateral, bukan unilateral.

"Ini diakui semua anggota komponen Pakatan, saya sendiri yakin PAS tidak akan mengambil langkah unilateral dalam perkara ini.

"Apabila DAP tidak setuju saya faham kerana mereka tentu ada cara pemikiran mereka sendiri, tetapi yang saya tidak faham Umno yang mengakui beragama Islam sebaliknya menolak hukum hudud," tambahnya.

Oleh itu katanya PAS perlu memberi penerangan terhadap semua lapisan masyarakat berhubung pelaksanaan hukum hudud setelah mengambil kira kegiatan jenayah tidak dapat dibendung lagi sekarang.

"PAS bebas memberi penjelasan, penerangan atau kempen tentang kelebihan undang-undang Islam, sama ada ia akan dilaksanakan apabila Pakatan mengambil alih pentadbiran negara atau tidak," ujarnya.

Husam juga berkata, sekiranya mendapat penjelasan dengan baik serta mendapat kerjasama erat semua pihak, sudah tentu orang ramai termasuk bukan Islam boleh menerima perundangan tersebut.

"Secara keseluruhan Pakatan Rakyat ada agenda yang perlu diselesaikan berkaitan isu-isu politik dalam negara yang lebih perlu disegerakan seperti rule of law dan good governance.

"Kita juga sepakat mengurus isu ekonomi, kenaikan harga barang keperluan harian, kejatuhan harga komoditi dan peningkatan jumlah penganggur, itu yang kita bincang bersama," ujarnya. - mj _


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI