24 Disember 2008

'Satu pengkhianatan kerajaan teruskan PPSMI' - Teras


Nyza Ayob Wed Dec 24, 08 10:01:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Hrkh) - Kerajaan di bawah pemimpin Melayu melakukan satu pengkhianatan besar apabila masih berdegil mahu meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).


Demikian tegas Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid mengenai tindakan kerajaan untuk meneruskan dasar PPSMI ini walaupun semua hujah yang dinyatakan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada daripada aspek sejarah, perlembagaan, budaya serta aspek jati diri bangsa sudah dihuraikan untuk dijadikan alasan yang kukuh agar PPSMI dihentikan.
Sedangkan katanya, ramai orang bukan Melayu sendiri memberi hujah bahawa menggunakan bahasa Melayu sangat sesuai dan boleh diterima masyarakat bukan Melayu yang telah melahirkan generasi sehingga 51 tahun merdeka .
"Selama tempoh 51 tahun itu kita tidak nampak kecacatan berlaku untuk membangun negara dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Azmi juga menyatakan persetujuan dengan langkah terakhir yang diambil oleh kumpulan NGO ini untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.
"Saya berharap semua rakyat dan kumpulan NGO akan bersatu bersama-sama untuk mewakili rakyat Malaysia bagi memfailkan saman terhadap kerajaan.
"Saya percaya majoriti NGO bersepakat menentang dasar yang ingin kerajaan teruskan ini. Cuma apa yang perlu dilakukan ialah bagaimana NGO ini harus bergabung untuk mengambil tindakan undang-undang ini,"katanya.
Beliau berpandangan, tindakan bersama yang dilakukan oleh kumpulan NGO seperti penyerahan memorandum serta melalui perhimpunan di Johor Bharu baru-baru ini dengan jelas menyatakan pendirian bahawa tindakan kerajaan itu satu pengkhianatan kepada negara bangsa.
Kenyataan beliau itu turut dipersetujui oleh Setiausaha Kehormat Persatuan China Muslim Malaysia, Ann Wan Seng .
Jelasnya kumpulan NGO menyuarakan pandangan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana terdapat beberapa mekanisma lain yang boleh digunakan untuk memperbaiki bahasa Inggeris.
"Pendekatan yang digunakan kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah tidak praktikal. Kami kumpulan NGO lebih berminat untuk menggunakan pendekatan alternatif berbanding pendekatan yang digunakan hari ini,"katanya.
Beliau juga melahirkan kekecewaan dengan tindakan kerajaan tersebut kerana pelaksanaan tersebut ternyata tidak memberi kemajuan untuk memperbaiki bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.
"Sekiranya pelaksanaan ini diteruskan, ia akan menimbulkan kesulitan kepada pelajar-pelajar yang sememangnya tidak pandai bahasa Inggeris untuk memahami subjek tersebut.
"Dan kita juga maklum, pelajar Melayu ramai yang tidak dapat menguasai subjek matematik. Jika subjek itu tetap diajar dalam bahasa Inggeris, akan menyebabkan pelajar-pelajar ini makin ketinggalan dan tercicir,"katanya.-azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan