07 Mac 2009

Penyokong himpunan bantah bahasa inggeris rempuh polis !!

Penyokong himpunan bantah bahasa Inggeris rempuh polis

[DIKEMAS KINI, 2.15 PETANG] PETALING JAYA: Kira-kira 5,000 penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), di ibu negara petang ini merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang hanya membenarkan tujuh orang wakil perhimpunan itu bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

BERITA TERDAHULU

Sekatan polis kawal perhimpunan bantah PPSMI di KL

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang sejak awal pagi ini bagi mengawal keadaan menjelang Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), di ibu negara petang ini.

Perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Masjid Negara dan disusuli dengan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan besar-besaran ini dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Beberapa laluan utama ke ibu negara terlibat dalam sekatan kali ini.

Bagaimanapun tinjauan mStar Online pagi ini mendapati belum ada kesesakan teruk di ibu negara.

Sekumpulan peserta sudah mula berhimpun di kawasan Masjid Negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, sebanyak 16 sekatan diadakan di ibu negara bagi mengawal keadaan.

Setakat pagi ini, kata beliau, keadaan adalah terkawal.

"Oleh kerana Masjid Negara merupakan tempat beribadat, penyokong perhimpunan dibenarkan berkumpul tetapi tidak dibenarkan mengadakan perarakan (ke Istana Negara)," katanya.

Jelas beliau, permit tidak dibenarkan untuk berhimpun dan mengadakan perarakan.

BERITA TERDAHULU

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pihaknya telah mendapatkan permit daripada pihak polis kelmarin bagi mengadakan perhimpunan tersebut.

"Pihak polis hanya membenarkan tujuh orang daripada ahli jawantkuasa GMP untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

"Saya sendiri akan mengetuai rombongan ini dengan menaiki kereta," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir gabungan itu di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini.

Selain Hassan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr Shahrir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Timbalan Pegerusi GMP, Dr Shahril Mohd Zain dan Setiausaha GMP, Hasni Abas akan diiringi polis ke istana pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun Hassan berkata, polis tidak membenarkan sebarang usaha untuk melakukan perarakan ke Istana Negara.

Jelasnya, pihak polis tidak membenarkan sebarang perarakan bagi menjaga keselamatan kerana perhimpunan esok dijangka melibatkan puluhan ribu orang.

"Kami telah memberitahu polis ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi, ini juga bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak. Kami hanya mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sejak dari awal lagi kami telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dan kami juga tidak akan membenarkan sesiapa mengeksploitasinya," katanya.

Beliau menyifatkan penyertaan ahli-ahli daripada parti politik tertentu yang menyertai perhimpunan itu sebagai hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Kami tidak dapat melarang mereka untuk membantah PPSMI," ujarnya.

Menurut Hassan, pihaknya akan cuba berunding dengan polis sekali lagi bagi membenarkan lebih ramai penyokong bersama-sama ke Istana bagi tujuan tersebut.

"Kalau tidak boleh, apa boleh buat... polis bukannya keras sangat. Mereka masih boleh diajak berunding," katanya.

Ditanya apakah kandungan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahmad berkata, terdapat dua perkara yang dikemukakan, pertama meminta PPSMI kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing dan kedua meminta pihak kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Sebanyak 135 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut serta dalam perhimpunan itu termasuklah Yayasan Tamil Kebangsaan dan Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong).

"Kami juga akan mendapat bantuan keselamatan daripada unit amal PAS semasa perhimpunan dijalankan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan