06 Mac 2009

Polis benarkan himpunan esok, rakyat "tetamu" Istana Negara


Azamin Amin 
Fri | Mar 06, 09 | 9:47:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Polis telah membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok dan sebagai satu 'signal' positif bahawa pihak berkuasa sanggup bekerjasama dengan rakyat yang mahu menyuarakan hasrat mereka terhadap dasar yang cuba meminggirkan Bahasa Melayu selama ini.

Iklan
 
 
  

Bagaimanapun, permit dibenarkan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang berbeza iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Sungguhpun begitu, Timbalan Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Suhaizan Kaiat berkata pihaknya sedang berurusan dengan pihak polis pagi ini bagi membenarkan perarakan diadakan daripada Masjid Negara ke Istana Negara bagi mencapai matlamat mereka untuk menyuarakan bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong melalui memo yang bakal disampaikan.

"Istana Negara telah bersedia untuk menerima memo tersebut. Jadi kita mahu berarak daripada masjid negara ke Istana Negara dan berharap polis akan benarkan.

"Kalau penjajah pun boleh membenarkan perhimpunan membantah Malayan Union, takkan kerajaan sendiri pun tak dapat benarkan sedangkan rakyat dianggap sebagai 'tetamu' Istana Negara," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Oleh yang demikian katanya, rakyat tidak perlu bimbang untuk hadir menyertai himpunan ini kerana ianya sah di segi undang-undang walaupun ianya terhad di lokasi tertentu dan berharap seluruh rakyat Malaysia akan sama-sama memberi sokongan kepada perjuangan memartabatkan bahasa.

"Polis dah benarkan dan rakyat tidak perlu takut. Hadirlah bersama keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja untuk menzahirkan sokongan seterus membantah dasar PPSMI yang sudah jelas mengundang masalah kepada para pelajar khususnya kepada yang duduk di luar bandar," katanya.

Jam 3.00 petang ini satu mesyuarat khas berhubung himpunan esok aan diadakan di Pena untuk memastikan kelancaran perjalanan majlis dan perarakan tersebut. - mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan