PPSMI : Keputusan segera Abdullah ? Najib bagaimana ?


Ali Bukhari Amir 
Sun | Mar 08, 09 | 6:41:10 pm MYT

Apabila Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata bahawa beliau mahu PPSMI diselesaikan segera bagi mengelakkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan, ada beberapa perkara yang menarik dibincangkan.

Iklan
 
 
  

Pertamanya, berdasarkan laporan akhbar Abdullah berkata, beliau mahukan isu PPSMI diselesaikan segera kerana wujud desakan kuat terutama daripada orang Melayu mengenai isu itu dan satu keputusan segera mengenainya perlu dilakukan.

"Saya mahu isu ini diselesaikan segera dan jika dilengah-lengahkan, pelbagai tekanan dan tindakan akan dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan ia jadi lebih besar," tegasnya.

Jadi, maknanya sebelum ini Abdullah gagal mencium keresahan hati ibu bapa, guru dan bangsa Malaysia yang menolak PPSMI ini. Adakah Abdullah hanya dikelilingi maklumat oleh Hishammuddin Hussein, dan Page; sebuah kumpulan yang menyokong PPSMI?

Berdasarkan maklumbalas, sudah wujud perubahan dalam fikiran para menteri. Jika pun masih tak berubah, hal itu terkait dengan keangkuhan. Dalam makna lain, tindakan kerajaan mempertahan PPSMI bukan atas nama rasional lagi, tetapi kerana mahu mempertahan ego kerajaan.

Akan kelihatanlah kerajaan salah. Dalam banyak keadaan, kerajaan tidak boleh dilihat melakukan kesalahan, kerana semua ini akan menjatuhkan imej kerajaan. Inilah tembok besar China atau tembok Berlin yang perlu diruntuhkan dalam fikiran menteri-menteri.

Berdasarkan malapetaka yang dibawa FRU baru-baru ini, Banyaklah perkara boleh dibincangkan. Misalnya kenapakah sebelum ini masih belum berubah fikiran menteri-menteri berhubung isu PPSMI?

Menteri dikelilingi maklumat palsu
Cuma ada satu jawapan kenapakah keputusan tentang PPSMI ini tidak berganjak. Iaitu, menteri semuanya ditipu oleh orang akhbar dan media yang dikawal oleh mereka sendiri.

Suara-suara yang membantah PPSMI tidak diberikan banyak ruang dalam media untuk didengarkan bantahan mereka itu. Akibatnya, mereka hanya mendengar suara yang menyokong PPSMI dan semua menteri tertipu oleh media mereka sendiri.

Hanya baru-baru ini, ketika melihat selaut manusia membadai ke pagar Istana Negara, fikiran menteri sedikit teranjak. Mereka mungkin tidak menjangka bahawa orang Asli pun akan menyerbu ke ibu kota. Malah.. yang turut berdemonstrasi itu, adalah orang-orang Umno sendiri!

Orang-orang Umno yang selama ini berdiam diri, memendam rasa dan berdendam dalam diam sudah pun berani bersuara. Hal ini bukan lagi bersifat kepartian, malah melibatkan maruah negara dan bangsa seluruhnya. Maka tembok-tembok hujah yang menyifatkan hal pemansuhan PPSMI ini terkait dengan gerakan pembangkang telah direbahkan.

Agak-agaknya, apa lagi usaha terbaru pemimpin kerajaan bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka? Yang terbaru, Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak mungkin cuba menonjolkan wataknya sebagai jaguh dan wira bahasa Melayu pula.

Dalam ucapannya yang terbaru ketika merasmikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 di Putrajaya beliau menyentuh soal kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana, bahasa ilmu dan sebagainya.

Tapi, itu semua tak penting sekarang. Yang mustahak, siapakah yang memberikan syor, menulis ucapan Najib. Kita tahu, menteri bukan berbicara dari hatinya, tetapi bercakap melalui lidahnya dan matanya membacakan teks ucapan.

Kita tidak mahu pimpinan menteri yang menyuruh orang menulis ucapannya sendiri dan bercakap tidak melalui hatinya. Ini yang kerap menjadi masalah antara sidang media dan kenyataan menteri dalam ucapan perasmian.

Menteri-menteri akan lebih jujur berbicara dalam sidang media ketika diasak pertanyaan oleh wartawan berbanding ketika mereka berucap di atas pentas ketika merasmikan persidangan tertentu.

Pidato bahasa Melayu antarabangsa bukan ukurannya
Dalam ucapannya, Najib menyatakan bahawa bahasa Melayu dianggap muda dari segi istilah sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris. Apakah Najib benar-benar menyelusuri sejarah sains dan teknologi Melayu?

Jika Najib membuat semakan dalam Sulalatus Salatin, beliau tentu dapat melihat betapa pada suatu ketika dahulu manusia Nusantara ini telah berjaya membina kapal selam di bawah pemerintahan Raja Suran. Tapi, Najib cuma mampu membeli kapal selam dari Perancis, itu pun dengan bantuan wanita Mongolia.

Jadi, ada dua bangsa dan dua bahasa terlibat dalam urusan pembelian itu, iaitu bahasa Perancis dan bahasa Mongolia. Ia bukannya terlibat dengan bahasa Inggeris. Perancis sangat bencikan bahasa dan bangsa Inggeris. Lebih baik berunding di dalam bahasa Mongolia berbanding rundingan yang dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya memang banyak catatan purba Melayu yang memperihalkan ilmu sains, matematik dalam Melayu sebelum kedatangan Islam lagi. Tetapi, kebanyakan catatan ini telah dipunggah ke bahagian arkib sebagai bahan penyelidikan di Britain.

Jika mahu mengkaji Melayu, maka terpaksalah orang-orang kita pergi membuat penyelidikan di luar negara dan bukannya di dalam negara sendiri. Tanggungjawab Najib sekarang ialah beliau perlu memanfaat jutaan wang untuk membeli semula hasil koleksi di Britain untuk dibawa pulang ke Malaysia. Itu khazanah kita!

Tetapi, Najib yang lembap berfikir ini telah menghanguskan RM 1 juta wang kerajaan ke padang golf untuk pasukan Golf Remaja. Hadis Nabi s.a.w ada menyebutkan, alangkah baiknya duit yang baik berada dalam genggaman orang yang baik.

Tapi, inilah yang berlaku sekarang. Duit sama ada yang baik (cukai daripada kerajaan) atau duit yang tidak baik (duit daripada komisen kapal selam, cukai judi dan sebagainya) telah berada di dalam genggaman orang yang tidak baik seperti Najib. Duit itu akan digunakan untuk menjatuhkan kerajaan rakyat dan menaikkan kerajaan haram di Perak.

Banyak kajian Sains, Matematik dalam bahasa Melayu
sekadar mengajak pelajar luar negara berpidato dalam bahasa Melayu, hal itu belum melayakkan bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu. Sesiapa pun boleh bercakap, berbual dan berpidato.

Burung kakak tua daripada New Zealand atau pun spesis burung kakak tua Mongolia pun jika dilatih bercakap Melayu, nanti haiwan itu pun dapat bercakap Melayu juga.

Inilah yang difikirkan oleh Najib. Jangan jatuhkan taraf orang New Zealand, insan Mongolia ke taraf kakak tua. Jangan Najib fikir bahawa pidato anjurannya baru-baru ini dapat anjakkan namanya sebagai wira bahasa Melayu. Jangan!

Ilmu itu di hati, didebatkan di akal. Ertinya, debat, kajian ilmiah, tesis disertasi mesti ditulis dalam bahasa Melayu untuk melayakkan bahasa itu membangun sebagai bahasa ilmu. Dan, ada banyak lagi takrifan berhubung bahasa ilmu ini.

Adakah Najib ingin menyatakan kepada dunia bahawa dengan cara mewujudkan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu yang membabitkan ramai peserta dalam kalangan luar negara telah menunjukkan dia telah berusaha mengembangkan bahasa Melayu itu ke serata dunia? Sekali-kali tidak!

Najib harus menyelongkar betapa banyaknya tesis disertasi di kampus universiti kita yang telah ditulis di dalam bahasa Melayu dan kajian dalam bahasa Melayu itu telah dijadikan sandaran rujukan mahasiswa-mahasiswa Amerika Syarikat, Jepun dan lain-lain negara.

Sehinggakan para siswa luar negara itu mesti mempelajari bahasa Melayu untuk mereka memahahami kajian di dalam bahasa Melayu itu. Inilah pencapaian teragung yang boleh dimaknakan sebagai bahasa ilmu. Iaitu, bangsa luar telah pun belajar bahasa Melayu untuk mengkaji ilmu-ilmu Sains, Matematik dalam bahasa Melayu.

Kalau tidak percaya, cuba Najib meluangkan sedikit waktu ke pustaka universiti, berdampingan dengan golongan pensyarah universiti dan jangan terlalu banyak bermain golf dengan puak puaka kapitalis saja. Najib tentunya terkejut melihatkan perkembangan yang positif ini.

Selama ini Najib mungkin tidak tahu kerana jarang membuat lawatan untuk menyemak kajian, tesis disertasi itu. Pergilah sekali-sekala ke pustaka UKM, USM dan lain-lainnya.

Nanti.. perlahan-lahan Najib akan sedar bahawa pidato antarabangsa yang dianjurkannya itu hanyalah sekadar acara syok sendiri dan untuk mengisi kekosongan hidupnya sahaja.

Ini kerana, pemidato luar itu akan datang dan pergi, tenggelam, hilang lesap bersama hadiah dan piala kemenangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Tapi, kajian ilmiah, tesis disertasi para siswa luar negara itu akan berterusan merakamkan, bahawa ilmu yang dipelajari itu terbit dari Malaysia; negara yang bahasa rasminya adalah bahasa Melayu!

6:08 p.m, 8 Mac 
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI