SIS dan Konco-konconya memang wajib di haramkan !!!

dari blog dewan ulama Perak http://dewanulamakpasperak.blogspot.com/

Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh :
1. Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) yang terdiri daripada Sisters in Islam (SIS), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women's Aid Organisation (WAO), All Women's Action Society (AWAM) and Women’s Centre for Change, Penang (WCC);
2. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); dan
3. Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM)
(http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=972&Itemid=1)
Dewan Ulamak Negeri Perak memandang berat kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) mengenai isu hukuman sebat terhadap Kartina. Dewan mendapati kenyataan tersebut mengandungi unsur prejudis yang keterlaluan dan amat berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dan kebencian rakyat terhadap Islam dan Umat Islam seluruhnya.
Ketika isul pengharaman SIS ditimbulkan dalam Muktamar Tahunan PAS yang lalu berbagai menyatakan bantahan kononnya golongan ini perlu ditangani secara ilmiah dan dipatahkan melalui hujjah. Namun suasana negara yang memberi ruang kebebasan terhadap golongan seperti ini seluas-luasnya untuk menyuara dan menyebarkan pemikiran mereka, dalam masa yang sama berbagai sekatan dibuat terhadap PAS untuk melakukan perkara yang sama mewujudkan persaingan yang tidak seimbang. Satu demi satu isu berkaitan Agama Islam yang disuarakan oleh golongan ini hanya merosakkan imej Islam di mata masyarakat sedikit-demi sedikit. Malangnya tidak ada usaha yang bersungguh daripada pihak berkuasa agama untuk mengekang serangan pemikiran terhadap Islam daripada golongan ini. Maka apakah tidak wajar untuk difikirkan semula agar usul pengharaman ini kembali diusahakan bagi memastikan kedaulatan Islam tetap terpelihara di negara bertuah ini.
Di antara kenyataan melampau yang telah dikelaurkan adalah seperti berikut :
Keputusan yang dibuat oleh Kartika boleh dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh balu beragama Hindu pada masa lampau. Amalan ‘sati’ (kini terlarang di India) di mana balu yang masih hidup dibakar bersama-sama mayat suaminya. Terdapat percanggahan pendapat tentang jika seseorang balu memilih untuk mengorbankan dirinya, mereka yang lain tidak boleh campur tangan. Jelasnya, ini bukanlah satu amalan yang tidak boleh dibiarkan berdasarkan prinsip pilihan bebas. Isu penting di sini adalah kemerosotan standard hak asasi yang digunakan di negeri Pahang.
Apakah wajar menyamakan pengakuan bersalah seorang yang telah insaf dengan balu yang rela membunuh dirinya mengiringi kematian suami. Tidakkah ini merupakan penghinaan terhadap sunnah para Sahabat yang biasa membuat pengakuan bersalah dan meminta hukuman dilaksanakan bagi mendapatkan penghapusan dosa yang telah dilakukan. Tidakkah mereka pernah mendengar kisah Maiz Al-Aslami yang meminta untuk direjam akibat dosa zina yang dilakukannya. Sukar sangatkah memikirkan perbezaan antara balu membunuh diri tanpa melakukan sebarang kesalahan dengan kerelaan menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan.
Jika hukuman sebat dilakukan ke atas seorang wanita di bawah undang-undang Syariah, ia akan mewujudkan satu preseden yang buruk di Malaysia – terutama sekali apabila kaum wanita telah dinyatakan dengan jelas - tidak boleh disebat di bawah S289 Kanun Acara Jenayah. Kami menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengkaji semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap hukuman sebat dan bentuk hukuman dera yang lain sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan perlakuan yang menjatuhkan maruah.
Hukuman sebat yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri-Negeri dikatakan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan akan mewujudkan satu preseden yang buruk. Apakah mereka merupakan golongan ekstremis yang tidak memahami atau tidak menghormati undang -undang yang telah diluluskan. Apakah mereka sedang berusaha mewujudkan masyarakat yang tidak perlu menghormati undang-undang dan meletakkan undang-undang di tangan mereka. Di sisi Allah, mengatakan Hukuman sebat yang telah ditetapkan oleh Allah secara pasti, sebagai suatu yang buruk memberi makna menganggap Allah sebagai menetapkan suatu hukum yang buruk, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Maka masihkah layak mereka yang sedemikian mengaitkan diri mereka dengan keimanan terhadap Allah.
Kami turut menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan kajian semula yang komprehensif ke atas undang-undang kesalahan jenayah Syariah, dengan tujuan memansuhkan undang-undang sedemikian. Pada tahun 1997 dan 2005, SIS telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan tentang kesalahan jenayah syariah, membangkitkan pelbagai isu yang membimbangkan termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang tersebut yang tidak berasaskan teori dan amalan undang-undang Islam, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta juga bercanggah atau bertindan dengan Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain.
Inilah sebenarnya wajah sebenar mereka yang mempunyai matlamat memansuhkan undang-undang Syariah, bukan melakukan penambahbaikan. Tidak mustahil suatu masa nanti mereka akan mendesak agar semua undang-undang berkaitan jenayah termasuk undang-undang sivil dimansuhkan. Mereka sebenarnya mahu membebaskan diri daripada undang-undang dan peraturan dan mahu menonjolkan gaya hidup bebas yang tidak terkongkong dengan sebarang peraturan.
Sehubungan dengan itu, Dewan Ulamak Negeri Perak berpandangan bahawa Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (HAKAM) telah melakukan jenayah besar merangkumi :
a. Menyentuh, mempertikaikan dan cuba menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan;
b. Menghina Hukum Syarak yang sedang berkutakuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri;
c. Mengguris perasaan dan sensitiviti Umat Islam di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya.
Maka dengan ini Dewan Ulamak Negeri Perak mendesak agar :
i. Semua pihak yang terlibat dengan tuntutan memorandum ini didakwa dan dikenakan tindakan sekeras-kerasnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
ii. Siasatan lanjut dibuat terhadap golongan tersebut agar dapat dipastikan mereka tidak menjadi agen bagi mana-mana pihak samada dalam mahupun luar negeri yang bertujuan menggugat keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.
iii. Membatalkan permit penerbitan akhbar dan saluran media lain yang mengizinkan atau mendokong usaha penyebaran pemikiran melampau ini.
iv. Memecat mana-mana pihak yang terlibat atau mendokong perjuangan golongan ini di semua peringkat bermula dari peringkat akar umbi di kampung-kampung, di agensi-agensi kerajaan malah hingga ke peringkat menteri-menteri kabinet agar tidak ada lagi benih-benih pelampau ini berakar umbi di negara ini.
v. Pihak Mahkamah Syariah Negeri Pahang hendaklah mempercepatkan perlaksanaan hukuman ini agar ianya tidak memberi ruang kepada lebih banyak tekanan dan campur tangan pihak yang berniat jahat terhadap Agama Islam.
vi. Pihak Berkuasa hendaklah menghapuskan segala ketakutan dan kebimbangan terhadap tekanan antarabangsa kerana keyakinan kita terhadap pemeliharan Allah terhadap mereka yang menolong mempertahankan agamanya.
vii. Pihak Berkuasa hendaklah menggunakan peluang keemasan ini bagi menunjukkan kepada dunia terhadap keistimewaan dan kehebatan Syariat Islam, memandangkan promosi percuma yang diberikan oleh media seluruh dunia terhadap isu ini.
Buat akhirnya, semua pihak hendaklah berpegang kepada janji Allah ketika mana kita berhadapan dengan suasana yang terlalu sukar untuk kita hadapi sebagai insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Alah. Jika Allah bersama dengan kita maka pastinya kita akan bertukar daripada insan yang kerdil kepada tentera Allah yang gagah perkasa sehingga mampu mengatasi segala halangan dan rintangan yang ada. Renungi dan hayatilah Firman Allah Surah At-Tolak ayat 2-3 :
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menjadikan baginya jalan penyelesaian. Dan Allah akan memberikan anugerah rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI