Bakar Gereja: Menteri gagal bertindak awal jadi punca

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 10 Jan: Kegagalan kerajaan membendung dari awal kemarahan rakyat ekoran mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bagi penerbitan Herald, akhirnya mengundang padah.

Media pula seperti dibiarkan mengapi-api isu tersebut dengan memaparkan bantahan orang ramai, tanpa mengambil kira sentimen penganut agama lain.

Kegagalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempercepatkan maraknya perasaan tidak senang hati antara kaum.

Anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan dilihat hanya bertindak selepas berlaku peristiwa di luar kawalan sehingga gereja dibakar.

“Isu yang berlaku sekarang berjaya menutup kemarahan sebenar rakyat ekoran kenaikan harga barangan dan kos hidup.

“Mungkin juga sebagai satu pelan bagi mengelakkan rakyat terus bercakap kehilangan enjin jet pejuang yang begitu mengaibkan sekali kerajaan,” katanya di sini.

Beberapa gereja menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan sebahagian prasananya. Antaranya Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel kesemua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membenarkan penerbitan milik Katholik menggunakan perkataan Allah sebagai ganti ‘god’ dalam bahasa Inggeris.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

Oleh itu beliau berharap mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden terbabit dihadap ke muka pengadilan.

Kerajaan diingatkan tidak melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurutnya juga isu perkauman di negara ini seperti sukar berakhir kerana ia sudah menjadi teras kepada perjuangan Umno yang hanya mengutamakan bangsa.

“Apabila rakyat tidak lagi menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beribadat di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, maka tidak hairanlah berlaku perbuatan khianat terhadap rumah-rumah ibadat.

“Sedangkan Islam melarang keras tindakan sedemikian, bahkan Rasulullah saw pernah mengingatkan masyarakat di zamannya menghormati golongan bukan Islam termasuk tempat ibadat mereka.

“Ini menggambarkan betapa suci dan murninya Islam yang mementingkan keharmonian kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI