20 April 2010

Inkues Teoh: Karpal kata Nazri 'kurang ajar'



Apr 20, 10 11:51am
Inkues Teoh Beng Hock bersambung hari ini dengan peguam Karpal Singh menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sebagai “kurang ajar” kerana melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand 'pembohong'.

NONEKarpal (kiri, berkerusi roda), yang mewakili keluarga Teoh, minggu lalu mengemukakan permohonan bagi mendakwa Nazri menghina mahkamah berhubung kenyataannya itu.

"Ini adalah kesalahan yang serius kerana beliau cuba campur tangan dan pelaksanaan keadilan,” Karpal memberitahu inkues.

"Menteri itu 'bermulut besar' dan ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan yang tidak bertanggung-jawab itu.”

Semasa disoal di Dewan Rakyat, semalam, Nazri bertegas mempertahankan kenyataannya itu.

Kornoner Azmil Muntapha Abas akan memutuskan pada 26 April ini sama ada akan mendengar permohonan Karpal bagi mendakwa Nazri atas tuduhan menghina mahkamah.

NONEPada perbicaraan hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memaklumkan inkues bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Undang-undang Thailand pada 13 April lalu memohon kehadiran Pornthip bagi memberi keterangan.

Inkues juga dimaklumkan bahawa Kementerian Undang-undang Thailand telah memberitahu kerajaan Selangor dalam sepucuk surat bertarikh 8 April yang Pornthip tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain.

Bagaimanapun kerajaan Selangor belum menerima surat itu.

Menurut Malik, beliau juga tidak dapat mengesahkan sebab sebenar Pornthip tidak dapat hadir memberi keterangan.

NONEPada 11 April lalu, Pornthip (kiri) berkata dia tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung semula kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Pornthip memberitahuMalaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.
Hari ini juga menandakan ulang tahun ke-31 Teoh jika beliau masih hidup.

Di luar perkarangan mahkamah, pemuda DAP juga menghadiahkan keluarga Teoh dengan kek dan bunga bagi meraikan sambutan itu mengikut tradisi masyarakat Cina

Tiada ulasan:

Catat Ulasan