JANGAN SEMPITKAN DEFINASI MENYERANG ISLAM


oleh : Mohamed Hanipa Maidin


Umat Islam sedunia berhak menunjukkan rasa marah di atas sikap kurang ajar Geert Wilders, Ahli Parlimen Belanda yang bertanggungjawab di atas penerbitan filem pendek yang berjudul Fitnah. Ironisnya tajuk filem Fitnah tersebut memfitnah Islam dan Al-Quran. Filem tersebut cuba menonjolkan kononnya Al-Quran menyeru kepada keganasan.
Pada 7 Mac 2008 filem tersebut telah disiarkan di internet . Antara lain filem fitnah tersebut memfitnah kononnya serangan penggananas pada 11 September dan 7 Julai di London hasil daripada inspirasi Al-Quran.
Filem tersebut dimulakan dengan satu amaran kepada penonton kononnya filem tersebut mengandungi imej yang memeranjatkan ( very shocking images ). Tidak cukup dengan itu, muqaddimah filem tersebut dengan secara kurang ajar menayangkan kartun daripada seorang Kartunis Denmark, Kurt Westergard yang melakarkan potret yang didakwa potret Nabi Muhammad s.a.w dengan bom di atas kepala Baginda.
Banyak lagi tuduhan jahat yang terdapat dalam filem keji tersebut seperti mendakwa orang Islam kononnya bersandar kepada beberapa surah di dalam Al-Quran untuk bertindak ganas. Sebagai contoh disiarkan dalam filem tersebut Ayat 55 dalam Surah Al-Nisa ( 4 ) bagi memfitnah kononnya ayat yang digunakan oleh orang Islam sebagai justifikasi kepada sikap anti yahudi ( anti semitism ) . Maka disiarkan gambar Sheik Bakr Al-Samarai memegang pedang dan mengisytiharkan "If Allah permits us, oh nation of Mohammed, even the stone will say Oh Muslim A Jew is hiding behind me, come and cut off his head. And we shall cut off his head! By Allah, we shall cut it off! Oh Jews! Allahu Akbar! Jihad for the sake of Allah!" Maka audotorium yang mengandungi rastusan orang bersorak tanda setuju dengan seruan tersebut.
Jelas filem tersebut adalah satu lagi tindakan biadap pihak barat ke atas Islam dan ajarannya. Tindakan orang Islam berdemonstrasi, menghantar memorandum bantahan, memboikot barangan buatan Belanda dan beberapa tindakan yang lain adalah satu tindakan yang wajar. Malahan sesetengah negara Islam seperti Indonesia juga telah menghalang Geert Wilders untuk menjejaki bumi Indonesia dan juga mengharamkan filem fitnah tersebut disiarkan meskipun versi Internet.
Tidak perlu dikatakan lagi tuduhan jahat filem fitnah tersebut tidak berasas sama sekali. Islam adalah agama perdamaian. Dr Yusuf AlQardhawi menyatakan bahawa umat Islam adalah umat "salam" ( perdamaian ) dan salam itu sendiri adalah satu nama dari nama-nama Allah. Daripada 114 surah dalam Al-Quran 113 surah dimulakan dengan kalimah "Dengan Nama Allah yang Pemurah dan Penyayang". Hatta nama Allah Al Jabbar meskipun membawa konotasi sifat Allah yang amat hebat ( handalan ) ) hanya disebut sekali sahaja dalam Al-Quran iaiti di dalam surah Al-Hasyr. ( lihat www.alqaradawi.net ). Ini menunjukkan betapa Islam satu ajaran yang amat menganjur kepada perdamaian.
Di Malaysia, badan-badan politik dan badan-badan bukan Kerajaan ( NGO ) khususya NGO Islam telah juga menunjukkan bantahan yang keras terhadap sikap biadap ahli Parlimen Belanda tersebut. PAS juga telah menghantar bantahan dan menyarankan rakyat Malaysia dan umat Islam di dunia memboikot mana-mana produk dari Belanda. UMNO juga tidak ketinggalan tumpang sekaki menentang sikap biadap orang Belanda tersebut.
Alhamdulillah dalam isu-isu sebegini nampaknya umat Islam di negara ini tanpa mengira fahaman politik mereka boleh bersatu menentang tindakan musuh Islam menyerang Islam dan ajarannya. Ini satu sikap yang amat baik dan perlu disuburkan . Namun apa yang tidak betul adalah ramai lagi umat Islam di negara ini yang menyempitkan makna dan definisi serangan ke atas Islam dan ajarannya.
Mereka mudah nampak dan cepat bertindak jika orang-orang barat seperti yang dilakukan oleh Geert Wilders dan akhbar Denmark Jyllands -Posten menyerang Islam dan mana-mana ajarannya. Malangnya tanpa mereka sedari bahawa Islam juga diserang di negara ini dalam bentuk yang lebih "subtle" ( lembut ). Islam dan ajarannya , tanpa disedari oleh orang Islam , juga diserang oleh orang yang juga memakai title Islam .
Amat malang masih terdapat majoriti orang Islam di negara ini tidak merasa apa-apa meskipun hukum Islam yang dinyatakan secara terang dan nyata dalam Al-Quran dan Al-Hadith tidak dilaksanakan di negara ini. Bukankah mengenepikan hukum Islam dan mengambil selain hukum Islam sebagai hukum alternatif adalah satu bentuk serangan ke atas Islam.
Membiarkan Parlimen, Dewan Undangan Negeri terus menggubal undang-undang yang tidak selaras dengan Al-Quran dan Al-Hadith tidak dikira sebagai satu serangan ke atas Al-Quran dan Al-Hadith bagi majoriti umat Islam di negara ini. Atas dasar itulah, meskipun judi ( al-maisir ) yang dinyatakan dalam Al-Quran sebagai najis ( rijsun ) dan menjadi amalan syaitan ( min 'amali syaiton ) masih dibiarkan terus berkuatkuasa dan dilindungi oleh undang-undang. Malahan judi yang haram secara qatie masih dibiarkan menjadi satu sumber lumayan perbendaharaan negara.
Riba yang diharamkan secara total oleh Al-Quran masih tidak diharamkan secara total. Umat Islam hanya diberi pilihan untuk terlibat atau tidak terlibat dengan riba. Ianya bermakna mereka yang memilih untuk tidak terlibat dengan riba tidak berupaya untuk menolong saudara seagamanya yang memilih untuk memilih perniagaan dan transaksi ribawi. Bukankah ajaran Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan riba adalah mereka yang sedang melancar peperangan ke atas Allah dan RasulNya. Kalau riba dianggap satu perisytiharan perang terhadap Allah dan RasulNya, tidakkah ini bermakna mereka yang membenarkan riba dibenarkan diamalkan di negara ini adalah mereka yang sedang menyerang Islam dan Al-Quran ?
Tidak membenarkan Negeri Kelantan yang dipilih oleh rakyat melalui pentas demokrasi untuk melaksanakan undang-undang Islam khususnya undang-undang jinayat Islam dalam keadaaan seruan AlQuran tentang wajibnya melaksanakan undang-undang tersebut adalah nyata dan terang masih tidak dilihat satu serangan ke atas Islam.
Mengelirukan orang ramai dengan slogan Islam hadari dalam keadaan Islam itu sendiri adalah sudah satu agama yang sudah sempurna dan menyempurnakan ( kameel wa mutakameel ) juga gagal dilihat sebagai satu serangan ke atas Islam. Islam hadhari yang langsung tidak membicarakan perlaksanaan syariah di dalam sepuluh terasnya masih tidak dilihat satu ajaran baru yang membahayakan Islam.!!!
Kenyataan Abdullah Badawi yang hanya meminta ditangguhkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama ( IFC ) meskipun hasrat penubuhan IFC adalah satu usaha menyerang Islam dan menarik orang Islam keluar dari agama Islam melalui preteks kebebasan beragama yang cuba ditafsirkan mengikut norma-norma dan piagam hak asasi antarabangsa juga masih tidak dilihat sebagai usaha untuk menyerang Islam oleh segelintir orang Islam termasuk beberapa pemimipin UMNO.
Kezaliman yang ditentang oleh Islam sama ada di dalam Al-Quran atau di dalam Al-Sunnah bukan sahaja tidak dilihat satu serangan ke atas Islam malahan secara bangga dibiarkan berleluasa oleh BN yang UMNO menjadi tunjangnya. ISA yang menjadi ibu kepada akta-akta yang zalim tidak dilihat sebagai zalim sedangkan mereka yang ditahan tidak dibenarkan untuk membela diri.
Pesta mungkar yang terus bermaharajalela di negara ini bukan sahaja tidak dilihat sebagai satu serangan ke atas Islam malahan terus disuburkan. Ketua Menteri Melaka meminta kalau boleh program jomheboh diadakan setiap bulan di Melaka sebagai satu tarikan pelancong. Kerana wang biarlah anak muda terus menerus dihidangkan dengan hiburan yang melekakan dan merobek jatidiri mereka.
Penganiyaan ke atas negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang mungkin sukar dilihat sebagai satu serangan ke atas ajaran Islam . Sebab itulah tidak kisah kenyataan Menteri Pelancongan yang cuba mewujudkan polisi dengan tujuan untuk menjejaskan sektor pelancongan di negeri-negeri yang diperintah pembangkang. Tidak pelik. Sebelum ini Kelantan juga dianiyai dengan melewatkan pemberian geran per kapita yang jelas diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Trengganu yang pernah diterajui oleh PAS ditarik balik pembayaran royalti meskipun terdapat perjanjian bertulis. Tidakkah Al-Quran di dalam ayat pertama surah Al-Maidah menyatakan secara jelas "Wahai orang-orang beriman tunaikan janji-janji ( aufu bil'uqud ) kamu".

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI