PERTOLONGAN ALLAH

Monday, April 14, 2008

إذا جاء نصر الله و الفتح و رأيت الناس يدخلون في دين الله افواجا فسبح بحمد ربك و استغفره إنه كان توابا
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan nescaya engkau akan menyaksikan manusia berduyun - duyun menyertai agama Allah , maka bertasbihlah dengan segala kepujian tuhanmu dan beristighfarlah ( mohon ampun kepada Allah ) sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha menerima Taubat .


Beberapa pengajaran yang boleh diambil dari ayat di atas .:

1. Pertolongan Allah swt. dan kemenangan Islam adalah suatu yang pasti akan berlaku dan ianya telah ditetapkan didalam planner Ilahi. Kemenangan itu hadhir setelah melalui proses pembentukan aqidah yang utuh dan pengorbanan yang jitu .


2. Kemenangan Islam membawa manusia beriman dan menerima Islam justeru mereka mula yakin akan keupayaan Islam memimpin dan memerintah . Bahkan mereka yakin bahawa Islam adalah agama yang suci , mulia dan kuat . ( umumnya berasaskan fitrah , manusia suka berpaut kepada yang mulia dan berlindung kepada yang kuat. )

3. Sambut Kemenangan dengan mensucikan Allah daripada segala syirik . Justeru menangnya kita bukan kerana kita hebat tetapi kerana Allah yang memberi pertolongan . Menurut Asy Syahid Syed Qutb Rhm. bahawa Tasbih dan Tahmid itu adalah suatu yang sangat wajar kerana kemenangan nerupakan kurniaan Ilahi. Kurniaan yang juga meletakkan kita sebagai pemegang amanah untuk laksana dakwah dan memelihara agama dan ummatnya.


4. Tatang kemenangan dengan tidak lepas - lepas kita memuji Allah agar senantiasa ingat Allah dan syukur kepada Allah agar kita tidak lalai , tidak alpa dan tidak melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah swt.


5. Pimpin kemenangan dengan jiwa yang merdeka dari rasa bersalah lantaran selaput dosa yang tebal . Bebas diri dari hambatan dosa untuk pimpin negeri dan rakyat dengan tenang selamanya.
Selamat dari angkuh dan sombong angkara mabuk menang malah selama ini kita mungkin pernah kecewa kerana lambatnya menang , tetapi bila sudah mencapai kemenangan sebahagiannya terlupa seketika bahawa ini adalah kedudukan yang memerlukan kita beristighfar.
Istighfar menyedarkan dan menginsafkan jiwa disaat ia tenggelam dalam kegembiraan kerana menang.
Istighfar meletakkan kita senantiasa merasakan diri kita diawasi oleh Allah swt dan ia adalah situasi yang cukup positif bagi membantu kita jauh dari mungkar dan maksiat . Sia - sialah kalau kita buru kemenangan , kejayaan , kebebasan dan kemerdekaan sedang kita masih terikat dengan keinginan - keinginan sendiri serta terbeban pula dengan desakan syahwah.
Renungilah bagaimana sikap yang diambil oleh 2 nabi Allah swt. yang pernah diberikan kemenangan :



1. Nabi Yusuf Alaihis salam . ( surah Yusuf : 101 )
Tuhanku , sesungguhnya Engkau telah mengurniakan kepadaku sebahagian kerajaan dan Engkau telah mengajarku sebahagian dari ilmu menyingkap peristiwa yang berlaku . Wahai Tuhan pencipta Langit dan bumi , Engkau adalah pemimpinku di dunia dan di akhirat , wafatkan lah aku sebagai orang yang menyerah diri kepadaMu ( muslim ) dan himpunkan aku dikalangan orang - orang yang soleh .



2. Sulaiman Alaihis salam. ( surah an Naml : 40 )
Telah berkata orang yang memiliki ilmu mengenai al kitab , aku akan membawanya ( mahligai ) kepadamu sebelum matamu berkedip . Maka apabila Nabi Sulaiman melihat mahligai itu tersergam dihadapannya , lalu ia berkata : Ini adalah sebahagian daripada kurnia TUhanku untuk mengujiku , apakah aku bersyukur atau kufur . Dan barangsiapa yang telah bersyukur maka sesungguhnya ia bersyukur untuk ( kebaikan ) dirinya sendiri dan barangsiapa yang telah ingkar ( kufur ) maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.
posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi @ 10:06:00 PM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI