AMBOI !! BAIKNYA HATI BUDI UMNO

"Hidup di dunia ini kalau baik hati semua orang sayang. Bak kata orang tua-tua: “Kita berbudi orang pun suka, kita memberi orang merasa”. Inilah yang sedang diamalkan oleh UMNO terhadap musuh tradisinya PAS yang sebelum ini tidak pernah diberi muka. Semua itu berlaku ekoran terhakisnya kuasa di tangan hingga ke tahap yang paling mencemaskan. Jika tidak kerana pertolongan undi dari Sabah dan Serawak, hari ini UMNO sudah bertukar posisi daripada bertaraf pemerintah kepada pembangkang.
Tak semena-mena sikap garang dan ganas terhadap PAS tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya. Di Selangor dan Perak, UMNO rela berkungsi kuasa dengan PAS dan jawatan Menteri Besar pun setuju diberi kepada PAS. Sejuk hati mendengarnya. Mungkin di negeri-negeri lain juga begitu jika UMNO berada seperti di Selangor dan Perak. Peristiwa tersebut walaupun bunyinya lucu tetapi serius.
Tapi malang bagi UMNO kerana PAS tidak menyambut pelawaan itu, sebaliknya lebih rela bersama PKR dan DAP dalam menerajui negeri-negeri yang dikuasai mereka. Inilah komitmen PAS terhadap rakan pembangkang yang telah disepakati bersama sebelum PRU 12 pada 8 Mac lalu. Komitmen tersebut membuktikan bahawa PAS tidak curang dan tidak bersikap tikam belakang terhadap rakan-rakannya, miskipun PAS boleh berbuat demikian jika mahu.
Walau pun pelawaan UMNO ditolak, namun PAS patut mengucap terima kasih atas pelawaan tersebut dalam suasana merendah diri. Dengan kata lain PAS tidak harus takabur dan merasa besar diri dengan merasakan bahawa dirinya sekarang berharga dan diperlukan. Sikap tersebut sememangnya dibenci oleh Islam yang menjadi platform perjuangan PAS. Hari ini giliran mereka, mungkin esok lusa giliran kita. Ini falsafah yang perlu diamalkan.
Kini gendang muzakarah dan muqabalah yang dipalu lantang oleh media massa disahut oleh pemimpin-peminpin UMNO di segenap ceruk. Dalam perjumpaan politik misalnya, mereka memaklumkan kepada penyokong parti bahawa usaha yang mulia itu tetap akan diadakan dengan PAS demi masa Melayu dan agama Islam.
Mereka menyeru penyokong agar berdiri teguh di belakang pemimpin yang kini sedang berusaha untuk memulihkan semula kekuatan parti dengan merancang berbagai program, termasuk memulihkan hubungan baik dengan PAS.
Apa sebenar ‘moral of the story’ di sebalik usaha pemimpin UMNO itu? Kenapa tiba-tiba tercetus idea untuk bertaut semula dengan PAS, padahal PAS pernah menjadi mangsa politik UMNO yang paling utama berbanding dengan parti-parti lain di negara ini? Bagi saya, UMNO menggunakan strategi yang dapat dirumuskan sebagaimana berikut:

Pertama, pemimpin UMNO semua peringkat telah menggunakan isu muzakarah tersebut semata-mata untuk memulihkan semangat ahli dan penyokong parti yang berada dalam keadaan trauma ekoran kekalahan besar dalam PRU 12 baru-baru ini. Dengan itu, isu tersebut diharap dapat dijadikan penawar duka yang mujarab dan berkesan.

Kedua, untuk menyekat niat para penyokong menyeberang kepada parti lain terutama PKR setelah hilang keyakinan terhadap UMNO. UMNO sedar bahawa penyokong mereka diperingkat akar umbi tidak semantap ahli dan penyokong PAS. Mereka mudah berubah fikiran bilamana parti berada dalam keadaan tidak stabil. Sebab itu usaha perlu dibuat bagi memantapkan pendirian mereka dengan apa cara sekali pun.

Ketiga, untuk mempamirkan kepada rakyat bahawa UMNO sedia berkungsi kuasa dengan PAS demi kebaikan bangsa Melayu, dan jika rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan, itu bukan salah UMNO, tetapi kerana keangkuhan PAS. Dengan itu, rakyat diminta membuat penilaian sendiri terhadap PAS yang kononnya mendokong perjuangan Islam, tetapi sanggup mengorbankan bangsa Melayu-Islam di negara ini. Ini senjata yang mungkin diguna untuk membangkitkan sentimen Melayu untuk masa yang akan datang.

Keempat, untuk mewujudkan kecelaruan dan kelam kabut di kalangan ahli, penyokong dan kelab penyokong PAS. Sekarang ahli PAS yang fanatik telah menunjukkan reaksi terhadap isu tersebut sehingga ada yang mengecam pemimpin yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan dengan UMNO. Mereka tidak mahu rancangan tersebut diadakan dengan UMNO yang dianggap penipu dan bermuka-muka. Mereka tidak mahu PAS mengulangi kesilapan lampau yang memalukan. PAS disingkir dari BN seperti membuang kucing kurap di tepi jalan. Peristiwa pahit itu masih menghantui perasaan ahli PAS di semua peringkat hingga sekarang.

Kelima, untuk menanam bibit-bibit kesangsian di kalangan rakan-rakan dalam PR terhadap kesetiaan PAS terutama rakan-rakan bukan Melayu. Ini merupakan strategi adu dumba yang sering dilakukan sebelum ini dengan dokongan seluruh jentera parti termasuk akhbar arus perdana dan media elektronik.

Soalnya, berjayakah UMNO menggunakan strategi berlembut dan mengumpan PAS atas nama perkungsian kuasa itu? PAS yang telah lama mengenali hati budi UMNO nampaknya cuba menguji psikologi UMNO dengan berwatak seperti jinak-jinak merpati yang boleh hinggap di tangan, tetapi dipegang, lari.

PAS jangan terburu-buru dan celaru dalam menghadapi situasi yang penuh dengan muslihat ini. Lembut lidah UMNO hanya ungkapan skrip yang dihafal untuk sebuah drama politik yang terdesak kerana diasak. Setelah drama tersebut berakhir, ia akan kembali kepada watak asal yang gedebe dan angkuh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI