KALAU BERKHILAF SESAMA JAMAAH

Sahabat-sahabat yang dikasihi.
MANUSIA ADA RUANG BUAT SALAH DAN SILAP

Kita semua adalah manusia. Manusia ada peluang buat salah dan silap. Gigi dan lidah lagilah tergigit, inikan pula kita dalam sebuah jamaah yang besar. Ahlinya daripada seorang ulamak sehingga kepada seorang jahil.......syarat utama keahliannya ialah Islam. Kalau kafir tak boleh.
Bila jamaah besar, ahlinya pelbagai tahap pemikiran, kerenah dan kedudukan, aktivitinya banyak MAKA pertelagahan mungkin berlaku DAN hampir mustahil tak berlaku perbalahan dan seumpamanya. Sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu ayah dan beberapa orang anak boleh tercetus perbalahan, apatah lagi kita jamaah yang ratusan ribu ahlinya.

APA YANG KITA NAK PELIHARA DAN PUPUK?
Oleh itu semua kita samada AHLI dan PEMIMPIN hendaklah sedaya upaya menjaga sebaik-baiknya ..........

1. Ikatan Jamaah
2. Ikatan Iman dan
3. Ikatan Ukhuwwah.

Jagalah ianya lebih daripada menjaga keluarga sendiri. Sentiasalah meletakkan kepentingan jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Jauhkan diri dari virus-virus dan kuman-kuman yang merosak dan menjahanamkan jamaah sekaligus membahayakan diri kita sendiri selaku individu dalam jamaah. Sentiasalah mengingati pesanan ALlah dalam surah al-Hujurat yang bermaksud
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat
(Al-Hujurat : 10).

APA SIFAT DAN SIFAT YANG WAJIB ADA DALAM MENJAGA KEUTUHAN JAMAAH DAN UKHUWWAH?

1. Tabayyun bererti mencari kejelasan dan kesohihan maklumat yang diterima.
Jangan mudah menerima berita tanpa ditapis dan diselidiki kesohihannya. Suratkhabar, blog, tv, radio, sms adalah ibarat tong sampah.....jangan main hentam aje. Paling tidak, letakkan status benda-benda tadi adalah "fasiq".

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(al-hujurat:6)

2. ’Adamus Sukhriyyah ertinya tidak memperolok-olokkan.
Janganlah kita merasakan kita sahaja yang pandai, banyak sumbangan dan berkorban; orang lain baru sahaja berada di medan dakwah dan jihad......aku dah lama berjuang. Suka sangat syaitan mendengarnya. Al-Quran mengajar kita,

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan) ."
(al-Hujurat:11).

3. 'Adamul Lamz iaitu tidak mencela orang lain.
Surah Hujurat menjelaskan sikap yang patut diambil oleh mukmin mujahid;"Dan janganlah kamu mencela diri sendiri'"
Hujurat:ayat 11.

Mencela sesama muslim mukmin mujahid dalam ayat ini dianggap mencela diri sendiri, sebab pada hakikatnya kaum muslimin dianggap satu kesatuan. Apalagi jika celaan itu adalah masalah status dan standard kebendaan. Allah sendiri menyuruh Rasul dan orang-orang yang mengikutinya untuk bersabar atas segala kekurangan orang-orang mukmin.
Kita mesti sedar kalau kita memperlekehkan pimpinan bermakna kita memperlekehkan diri kita sendiri. Kalau kita mendedahkan keaiban jamaah bererti kita mendedahkan keaiban diri
sendiri. Barang diingat bahawa media bukan medan tempat penyelesaian masalah jamaah.

4. Tarku at-Tanabuz yakni meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik terhadap sesama mukmin.

"Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk).
al-Hujurat"

Janganlah memanggil atau menggelarkan sahabat sendiri dengan sebutan yang tidak baik. "Tengoklah ustaz gila tu!" "Wow hebat ustaz bingung tu" "Aku rasa kalau pemimpin umnowi, kita tendang aje".....macam-macam kita dengar di cuping telinga.

Tanabuz dalam bentuk yang paling parah adalah berupa pengkafiran terhadap orang yang beriman.
Sucikan hati mu. Janganlah kebencian, permusuhan kamu terhadap seseorang sekalipun musuhmu menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Jangan diikut perasaan marah(ghadab).

5. Ijtinab Kathirun min az-zon iaitu menjauhi kebanyakan prasangka.

"Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, karena sebagian prasangka itu dosa.
AL-HUJURAT: 8"

Pada dasarnya seorang muslim harus berbaik sangka terhadap sesamanya, kecuali jika ada bukti yang jelas tentang kesalahan tersebut. Dan sebaliknya, kepada orang kafir dan musuh Islam, kaum muslimin harus menaruh curiga bila mereka bermanis budi. Dalam sejarah perjuangan terlalu banyak berlaku perkara yang tidak diingini akibat sifat Su' Zon(buruk sangka). Lebih-lebih lagi apabila musuh pandai mencampak isu.
Lihat surah an-Nur ayat 11 hingga 16.

Peristiwa yang menimpa Umm al-Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar yang difitnahkan "berbuat jahat" dengan Safwan sahabat Nabi saw. Bayangkan kalau zaman Jamaah Islam di bawah pimpinan RasuluLlah saw boleh berlaku......bagaimana di zaman kita ini.
Oleh sebab itu dua sikap yang mesti ada kepada ahli dan pimpinan Islam ketika DALAM MENGHADAPI ISU DAN PROVOKASI MUSUH ialah:

i. MENGUTAMAKAN HUSNU-ZAN (BERSANGKA BAIK). Salah satu sikap(mawaqif) yang harus kita miliki di dalam mengembangkan AMANAH DAN JIHAD MENEGAKKAN SYARIAT ALlah di bumi ini. BERHUSNUZAN(baik sangka) kepada saudara sejamaah walaupun siapapun dia atau dari kelompok manapun.

ii. MENGUTAMAKAN JAMAAH DAN PERPADUAN.

6. ’Adamu at-Tajassus adalah tidak mencari-cari kesalahan dan aurat orang lain.
Perbuatan ini amat dicela Islam. Setiap cara da'wah ada metodenya masing-masing, yang berusaha semaksima mungkin mendekati cara berda'wah Rasulullah SAW. Allah SWT amat suka bila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri. Kalau cari salah orang, memang jumpa. Salah sendiri walaupun "bapak besar" tak nampak.

7. Ijtinab al-Ghibah iaitu jauhi mengumpat.
Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu apakah ghibah?"
Jawab sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. yang lebih mengetahui." "Ghibah itu jika kau menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang ia tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah padanya." Jawab Rasulullah s.a.w.
Lalu ditanya: "Bagaimana kalau saudaraku betul begitu?" "Jika yang kau sebut itu benar ada padanya. maka itu ghibah tetapi jika tidak betul maka itu buhtan (membuat-buat kepalsuan, pendustaan untuk menjelekkan nama orang)."
jawab Rasulullah s.a.w.
Menyebut: "Baju orang itu pendek atau panjang." itu bererti ghibah.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abi Najih berkata: "Ada seorang wanita pendek datang kerumah Nabi Muhammad s.a.w. dan ketika telah keluar, Siti Aisyah r.a. berkata: "Alangkah pendeknya orang itu." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau ghibah." Aisyah r.a. berkata: "Saya tidak menyebut kecuali yang sebenarnya ada padanya." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau telah menyebut yang paling jelek padanya."
Khulasahnya kita wajib menjaga kesatuan dan perpaduan jamaah dan memelihara ukhuwwah/persaudaraan.

BUKTIKAN anda benar-benar mukmin dan ikhlas dalam perjuangan dengan melakukan A, B dan C terhadap sahabat yang bertelagah dengan anda.

A = Memaafkan kesalahan sahabat kita tu.
B=Berdoa kepada ALLAH agar dosanya diampunkan.
C= Doa dan harapkan sahabat itu dalam kebaikan terutamanya dalam doa rabitah(bayangkan mukanya waktu berdoa).

Saya yakin, kita mampu melakukannya walaupun tidak mudah. Ayuh kita cari keredhaan ALlah walaupun dalam kemarahan manusia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI