11 Februari 2009

Larangan ceramah politik di Perak - Malaysiakini


Jimadie Shah Othman | Feb 11, 09 3:46pm
eksklusif Polis melarang sebarang ceramah politik di seluruh Perak sehingga situasi panas susulan pergeseran kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat sejak minggu lalu mulai reda.

"Kita tidak benarkan sebab situasi tidak berapa elok," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini.

musa hassanBeliau berkata pembekuan ini telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad dan pegawainya itu akan mengeluarkan arahan rasmi.

"Saya sudah beritahu ketua polis (Perak) dan beliau akan keluar arahan," kata Musa.

Beliau diminta menjelaskan dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa polis membekukan ceramah Pakatan Rakyat di seluruh negara selama dua minggu ekoran kegelisahan politik di negeri tersebut.

Ditanya tempoh pembekuan permit itu akan dikuatkuasa di Perak yang kini sedang menyaksikan perebutan jawatan menteri besar dan kerajaan negeri, Musa tidak dapat menyatakan tarikh pasti.

Mengulas tindakan polis negeri-negeri lain, beliau berkata tiada arahan seumpama itu dan parti-parti politik yang berminat mengadakan ceramah harus melalui prosedur biasa untuk mendapatkan permit.

"Saya tidak dengar (dakwaan itu). Negeri lain, kalau parti nak buat, kena ikut syarat-syarat (mengadakan ceramah) seperti biasa," kata Musa lagi, ketika diminta mengulas penarikan balik permit ceramah di Pulau Pinang.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 31Suasana tegang berlaku dekat istana Kuala Kangsar sewaktu majlis angkat sumpah menteri besar baru BN, Jumaat lepas - sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata berkali-kali (foto kiri, bawah).

Sehari selepasnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan jadualnya di saat-saat akhir untuk menyambut Tahun Baru Cina di Ipoh - difahamkan atas alasan keselamatan.

Kawalan ketat polis mengiringi majlis angkat sumpah enam exco kerajaan baru BN itu semalam di istana Kuala Kangsar bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendakwa ceramah anjuran mereka di Bayan Baru pada Ahad lalu dibatalkan permitnya di saat-saat akhir kerana wujud "arahan khas daripada Bukit Aman."

Badrul Hisham Shaharin mendakwa pihaknya dimaklumkan pembekuan itu selama dua minggu sehingga situasi di Perak "kembali sejuk."

Ceramah itu yang asalnya dijadual di padang dekat Sungai Nibong Tengah, bagaimanapun diteruskan di sebuah rumah berdekatan dengan kehadiran 2,000 orang penyokong, katanya.

Selain beliau, exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin turut berucap.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 22Sementara itu, ketua Angkatan Muda PKR Bayan Baru, Asrizal Tahir – yang memohon permit berkenaan – berkata permohonan mereka pada mulanya diluluskan oleh polis.

Katanya, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah menelefon beliau sehari sebelum program memaklumkan pembatalan itu.

Menurutnya, pegawai polis itu memaklumkan kepadanya bahawa semua ceramah "dibekukan dalam masa terdekat", difahamkan dua minggu, kerana "ada sangkut-paut dengan situasi di Perak."

Beliau juga mendakwa, pegawai itu memberitahu bahawa keputusan itu datangnya daripada ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan berkuatkuasa di seluruh negara.

Pergeseran di Perak bermula apabila kerajaan Pakatan tumbang setelah tiga Adunnya keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

Adun PKR Datuk Nasarudin Halim - yang menyertai parti itu selama 10 hari - kembali semula kepada BN.

Kerajaan baru BN pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyebabkan wujudnya suasana krisis perlembagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan