Merompak adalah cara mereka

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, tindakan Umno 'merompak' hak mutlak seseorang dengan cara paksaan sudah menjadi tradisi yang diulangi lagi bagi menafikan kerajaan yang dipilih rakyat.

Tindakan Umno merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak seumpama kumpulan lanun dengan mengulangi peristiwa yang pernah berlaku pada 1961 di Terengganu dan 1968 di Kelantan.

"Rakyat Perak dipaksa menerima tindakan lanun itu yang mengakibatkan berlakunya bantahan menyeluruh daripada rakyat Perak.

"Sedangkan apa yang mereka laungkan selama ini bagi menegakkan demokrasi langsung tidak berlaku apabila Umno merampas negeri dengan menculik Adun," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau juga melahirkan rasa dukacita cara laporan dibuat media harian bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat dengan istana.

Menurut beliau, media menggambarkan pemimpin Pakatan Rakyat menderhaka kepada raja, sedangkan rakyat negara ini tanpa mengira kaum mentaati raja.

"Janganlah kerana beberapa insiden kecil, pihak media cuba menggambarkan sifat derhaka kepada raja.

"Rakyat mempunyai perasaan dan hati. Mereka akan terkilan sekiranya hak mereka dinafikan secara kurang beradab. Umno merupakan sebuah parti politik sama dengan PAS, DAP dan KeADILan," tambahnya,

Kata beliau kini rakyat sudah bijak menilai setiap berita yang disiarkan akhbar atau media elektronik kerana maklumat kini berada di hujung jari.

"Rakyat sekarang mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan berita. Kalau dok siar berita yang boleh mengguriskan hati rakyat, mereka akan tutup tv atau beralih kepada siaran lain," ujar beliau.

Bagaimanapun beliau hairan media proUmno masih tidak serik apabila menyiarkan berita yang boleh menambah kebencian rakyat, biar pun Umno telah hilang majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, pihak media seharusnya sedar dan bukan lagi menyiarkan maklumat yang lapuk dan berat sebelah secara melampau.

Beliau juga mencabar Dato' Seri Najib Razak agar menafikan Umno terlibat secara terbuka dalam konspirasi menculik tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang kini menyokong BN.

Ditanya kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan kewibawaan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung krisis politik di Perak sekarang, Husam berkata itu hanya pandangan peribadinya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI