MB PERAK DAPAT SAMBUTAN HEBAT DI KG BARU
KUALA LUMPUR, 13 Feb - Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin yang menyertai solat jumaat di Masjid Kampung Baru tengahari tadi sempat memberi ucapannya selepas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini pagi tadi.
“Saya berterima kasih atas sokongan seluruh, dan kita tunggu keputusan mahkamah secepat mungkin,” katanya berikutan ‘rampasan kuasa’ yang berlaku di Perak.
Beliau meminta rakyat negeri Perak khususnya dan sokongan seluruh amnya untuk bersama-sama membantah kerajaan baru BN di Perak sekarang sebagai tidak sah dan Pakatan Rakyat masih kerajaan yang sah.
“Kempen mengumpul tanda tangan menyokong pemerintahan Pakatan rakyat di Perak akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat,” tambah beliau.
Turut mengulas berkenaan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dun Bukit Selambau, beliau memohon kebersamaan penyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini untuk menolak BN yang nyata menghina sultan, menggubal perlembagaan yang merampas kuasa Sultan.
“Tindakan mereka (BN-Umno) kononnya berdemo satu tindakan yang pura-pura, melihat kebangkitan rakyat yang berlaku hari ini, lebih meyakinkan Pakatan Rakyat mendapatkan kemenangan,” tambah beliau lagi.
Turut kelihatan dalam ucapannya itu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Ustaz Ali Jamil; Ketua Pemuda Pas Wilayah, Saudara Kamaruzaman Mohamad dan 1000 penyokong yang memenuhi perkarangan masjid.
Ulasan
Catat Ulasan