PPSMI kembalai ke zaman penjajah

26 February 2009



SAYA tertarik hendak mengulas isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kerap dibangkitkan sejak akhir-akhir ini oleh ahli politik, pejuang bahasa, ahli akademik dan masyarakat pendidik sendiri.

Bagi saya selaku seorang pendidik dan kini selaku penyelidik, apabila kita mahu berhujah mengenai sesuatu perkara, berhujahlah berlandaskan fakta, kajian terperinci dan bersifat akademik. Isu PPSMI tidak harus dilihat berdasarkan perspektif emosi semata-mata.

Isu PPSMI berkait-rapat dengan soal paksi Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Negara, isu undang-undang tubuh negara (Perlembagaan Persekutuan), isu kebolehcapaian pelajar dalam pelaksanaan PPSMI, isu penggubalan dasar PPSMI itu sendiri dan pelaksanaannya, isu keciciran dan kesannya ke atas survival pelajar pada masa depan dan impak dari segi sosiologi, psikologi dan sosioekonomi.

Itu antara beberapa perspektif yang boleh dilihat dan masih banyak lagi sudut lain. Mudah benar bagi kita menuduh begitu dan begini tanpa membuat kajian mendalam asas bantahan PPSMI. Mudah untuk kita menyatakan kajian yang dibuat mengenai PPSMI adalah bersifat dangkal jika dilakukan oleh golongan yang menolak PPSMI.

Mudah juga bagi kita, seperti menyatakan orang Melayu asyik hendak bersenang-senang saja. Saya tidak nafikan mungkin wujud di kalangan orang Melayu, seperti pelajar Melayu yang bersifat sedemikian, tetapi kadar atau bilangan yang bersifat begitu harus diselidiki melalui kajian empiritif dan tidak sewajarnya pukul rata.

Lantaran itu beberapa pemikir Melayu seperti Syed Hussein Al Attas kurang bersetuju dengan anggapan masyarakat Melayu pemalas. Kita harus mengkaji sejarah dan melihat kebangkitan empayar Melayu sehingga dikagumi kuasa besar seperti China suatu waktu dulu.

Berbalik kepada asas melingkari PPSMI, banyak isu yang perlu diperdebatkan secara objektif tanpa emosional sebelum dasar ini diteruskan atau tidak. Pertamanya soal perancangan dan pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri.

Dari sudut teori pentadbiran awam, sesuatu dasar yang berkesan haruslah dirancang dengan teliti, malah melalui proses kajian impak, kajian projek rintis dan sebagainya sebelum dilaksanakan menyeluruh.

Apakah PPSMI melalui semua ini? Menurut Prof Dr Sidek Baba dalam bukunya Melayu Perkasa (2009), dasar PPSMI dirancang dan dilaksana secara tidak berhati-hati dalam erti kata melalui perancangan teliti sebegini.

Keduanya, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaan dasar ini akan menggugat Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Kita khasnya bangsa Melayu harus sedar bahawa ada empat perkara yang memayungi pribumi dalam Perlembagaan Negara dan menjadi teras iaitu agama Islam (Perkara 4 dan 11), Bahasa Melayu (Perkara 152), Hak Istimewa Melayu (Perkara 153) dan Raja Berperlembagaan.

Pada masa ini, keempat-empat perkara itu mula tergugat dan goyah dan tanpa disedari melalui pelaksanaan PPSMI kita sedang dan akan terus membunuh bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Menurut Prof Emeritus Abu Bakar Hamid (2007), satu kajian menunjukkan daripada 79 mata pelajaran pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya 19 subjek diajar dalam bahasa Melayu. Pada peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula, lebih kurang 20 peratus saja subjek diajar dalam bahasa Melayu manakala di IPT swasta, rata-rata dalam bahasa Inggeris.

Ini bermakna dalam jangka panjang PPSMI akan menyebabkan kita kembali ke zaman penjajahan apabila hampir semua subjek diajar dalam bahasa Inggeris. Justeru, apakah akan terjadi kepada usaha hampir 50 tahun memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

Kita juga mungkin terlupa betapa hasil pelaksanaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar dalam arus pendidikan kita sejak sekian lama, kita menghasilkan puluhan ribu profesional Bumiputera.

Misalnya doktor gigi Bumiputera pada 1999 dilaporkan mencecah 35 peratus sedangkan pada 1970 hanya tiga peratus, doktor perubatan 37 peratus (1999) berbanding empat peratus (1970) dan jurutera 27 peratus (1999) berbanding tujuh peratus (1970).

PPSMI juga memungkinkan keciciran di kalangan pelajar luar bandar dan bandar yang sosioekonomi mereka rendah. Kajian Nor Hashimah Jalaluddin (2004) mendapati 75 peratus pelajar tidak setuju Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

ADIPUTERAJAGAT,
Tanjung Malim,
Perak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI