11 Mei 2009

INSYAALLAH NIZAR AKAN MENANG !!!

Nizar Akan Menang Petang Ini

Mahkamah Tinggi petang ini akan memutuskan pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah. Hakim Abdul Aziz Abd Rahim dijangka akan mengumumkan keputusan tersebut.
Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac.
Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.
Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.
Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Gani Patail menyatakan bahawa Nizar dilucutkan daripada menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Perak kerana tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak .
Peguam untuk Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah berhujjah bahawa pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Nizar, adalah tidak mengikut perlembagaan.
Beliau berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.
“Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.“Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undangundang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar,” kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.
Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.
Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;
* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;
* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar.

Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.
“Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu,” kata beliau.Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.
“Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya,” kata Sulaiman.
Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.
“Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bila-bila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti,” katanya.
Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.
Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.
Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.
“Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik,” kata beliau.
Sebelumnya Hakim Abdul Aziz Abd Rahim di dalam satu penghakimannya yang terdahulu menyatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh DS Nizar berhak diberi laluan untuk mendapatkan penghakiman mahkamah.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Hakim Abdul Aziz memperakui bahawa permohonan DS Nizar tiada kaitan dengan sebarang unsur remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah seperti dakwaan pasukan peguam yang mewakili Jabatan Peguam Negara dan Dr. Zambry.

Hakim Abdul Aziz menjelaskan perintah 'quo warranto' yang dipohon oleh DS Nizar merupakan salah satu penyelesaian untuk menentukan keabsahan perlantikan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar dalam keadaan DUN tidak dibubarkan dan Nizar tidak meletak jawatan.

Pasukan peguam yang mewakili Dr. Zambri diingatkan bahawa DS Nizar telah menghadap Sultan dan memohon pembubaran DUN. Pembubaran yang dipohon akan disusuli dengan pilihanraya negeri. Langkah itu boleh menyelesaikan kebuntuan berkenaan status pihak yang memiliki majoriti (jelas) dalam DUN.
"Malangnya Sultan enggan memberi perkenan membubarkan DUN dan kemudiannya responden (Dr. Zambry) dilantik sebagai Menteri Besar baru", kata Hakim Abdul Aziz.
Seterusnya Hakim merujuk kepada Fasal XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Menurut Hakim, Fasal itu memperuntukkan hanya 4 keadaan yang menyebabkan jawatan Menteri Besar menjadi kosong termasuk Menteri Besar itu sendiri meletak jawatan. "Tetapi Nizar tidak meletak jawatan kerana tidak berlaku usul undi tidak percaya terhadapnya di dalam persidangan DUN", kata Hakim Abdul Aziz.
Sementara itu, Hakim Abdul Aziz berkata kedua-dua belah pihak telah bersetuju bahawa tiada pertikaian berhubung keengganan Sultan membubarkan DUN. Pemohon dan Peguam Negara bersetuju bahawa Sultan memiliki kuasa 'prerogative' untuk berbuat demikian.
Hj. Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita bahawa soal DS Nizar derhaka kepada Sultan Perak tidak timbul sama sekali kerana dia tidak pernah mempersoalkan kuasa Sultan. Saman yang sedang didengar oleh mahkamah sekarang ini adalah di antara DS Nizar dan Dr. Zambry.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan