03 Ogos 2008

19,139 penduduk dapat bekalan air percuma


IPOH, 30 Julai : Pengumuman Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sebelum ini akan memberikan air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada golongan miskin tegar terbukti apabila 19,139 penduduk miskin tegar dan berpendapatan kurang RM700 akan dapat menikmatinya mulai Ogos ini.

Golongan miskin teger tersebut telah dikenal pasti daripada mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agamma Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).
Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini kelmarin.
Daripada 19,139 penduduk tersebut, 5,000 daripadanya adalah golongan miskin tegar yang akan dapat menikmati bekalan air percuma pada kadar 20 meter padu pertama.
"Kesan daripada pemberian air percuma itu, keuntungan LAP akan menurun sebanyak RM2 juta setahun," katanya.
Keputusan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak memberikan air percuma kepada golongan miskin tegar adalah kerana kerajaan negeri yang baru mahu berusaha mengurangkan bebanan mereka yang terbabit berikutan kenaikan inflasi, harga barang dan petrol dan sebagainya, katanya.
Menurut beliau lagi, pelaksanaan pemberian air percuma itu akan dijalankan mengikut beberapa fasa kerana ada kemungkinan golongan lain akan dimasukkan sebagai senarai yang layak termasuk mereka yang tinggal di rumah pangsa
"Pemberian air percuma akan disemak dari semasa ke semasa pada setiap enam bulan sekali, kerana itu orang ramai terutama mereka yang mendapat air percuma perlu menggunakan air secara berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran.
"Dalam masa sama LAP akan mengambil beberapa langkah perlu bagi mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRM) di negeri ini yang dilihat agak tinggi sehingga mencecah 30 peratus," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Tenaga Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Dato' Nge Koo Ham dan Pengurus LAP Perak, Dato' Mohd Yusof Mohd Isa.
-Harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan