BUANG MELAYU TEGAKKAN ISLAM


Jika anda menjenguk ke laman ini, http://nikabduh.wordpress.com/ , anda akan memperolehi sedikit sebanyak intipati yang berguna bagi merungkaikan simpulan yang wujud di benak dan kepala anda. Hasil nukilan anakanda Mursyidul Am PAS ini, Sdr. Nik Abduh bukan sebarangan nukilan. Gabungan antara nas dan bernas pemikiran menjurus kepada satu pemahaman yang mendalam. Sekaligus menyuntik ketajaman pemikiran dan keteguhan iltizam untuk membuat penilaian ke atas isu-isu berbangkit yang selama ini mengkucar-kacirkan koloni Islam sejagat.
Umum mengikuti perkembangan isu muzakarah, muqabalah, bubar parti antara PAS dan UMNO sehingga membawa kepada kedangkalan kenyataan Karpal Singh, hingga mencetuskan kesinambungan imej buruk DAP. Lantas peluang ini dimanfaatkan oleh media perdana dengan hebahan menyeluruh tentang keretakan hubungan komponen Pakatan Rakyat. Mujur PKR berdiam diri dan hanya fokus tentang Anwar Ibrahim. Paling menggelikan hati bila UMNO tanpa disedari telah membuka pekung di dada dengan tawaran-tawaran melulu untuk membentuk kerajaan campuran PAS-UMNO di Perak dan Pahang. Gelojoh sungguh...
Saya bukan hendak menyokong tulisan Nik Abduh semata-mata kerana saya mengaguminya atau kerana menjadi kenalan rapat kepada beliau. Anda boleh teliti dan hayati sendiri mesej yang ingin disampaikannya. Dalam konteks muqabalah cadangan ayahandanya, beliau mengutarakan nas-nas yang saya sendiri tidak berapa mengetahuinya. Maklumlah, baca Quran tapi maknanya tak faham. Nak jenguk terjemahan jarang sekali dek sibuk dengan hal-hal duniawi. Huk..huk...
Menyingkap tulisan Nik Abduh, disebut jua olehnya tentang peri pentingnya mencari jalan untuk berdamai, walaupun dengan musuh. Inikan pulak sesama Islam. Inilah kebaikan Islam. Ada garis perdamaian dalam Islam yang boleh dijadikan panduan. Kenyataan Tok Guru untuk membubarkan parti PAS dan UMNO lalu menubuhkan parti baru berlandaskan Islam, memang sengaja diucapkan. Tujuannya, untuk melihat sejauh mana kesediaan UMNO untuk bersatu demi kepentingan Islam. Ingat, UMNO mahu bersatu demi kepentingan orang Melayu dan Islam! Ada bezanya. Jika mahu bersatu, UMNO mesti mengenepikan kepentingan orang Melayu kerana kepentingan orang Melayu tidak wujud dalam skop perjuangan Islam. Maksudnya kepentingan orang Melayu bukan objektif Islam diutuskan ke dunia! Rasulullah SAW sendiri menyatupadukan bangsa Arab dengan Islam, bukan dengan semangat Arabisme!
Menyatupadukan umat Islam harus dimulakan dengan menyatupadukan akidah. Keyakinan terhadap Allah SWT pencipta alam semesta dan segala hidupan di dunia. Keyakinan tentang pahala dan dosa. Keyakinan tentang syurga dan neraka. Keyakinan tentang rahmat dan laknat. Keyakinan tentang adanya hari akhirat. Akidah ini akan mengubah cara hidup kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, remaja kita, masyarakat kita, sistem kehakiman kita, sosio-ekonomi kita, dan kuasa kerajaan kita ke arah cara hidup yang terbaik dan diredhai Allah SWT.
Islam dijadikan Allah SWT untuk semua. Dan kerana itu slogan PAS adalah PAS For All! PAS mendokong perjuangan Islam untuk semua bangsa atas dasar keadilan Islam. Tiada PAS, Islam tetap ada. Islam tak mati. Kita yang mati. Islam tetap hidup hingga ke hari Kiamat!
Cadangan Tok Guru adalah salah satu jalan perdamaian yang dicari-cari. Cadangan untuk memulakan permuafakatan umat Islam demi mendaulatkan Islam. Pada masa yang sama sebagai ujian untuk menyelongkar keikhlasan UMNO terhadap usaha menjamin kepentingan dan masa depan umat Islam. PAS tidak akan bergabung dengan UMNO selagi UMNO masih berselindung di sebalik kepentingan Melayu. Jalan perdamaian sudah tersedia. Mengorbankan kepentingan Melayu dan ditegakkan prinsip Islam sebenarnya akan menggandakan kesejahteraan kepada semua termasuk bukan Islam. Buang Melayu, tegakkan Islam, selamat dunia dan akhirat!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI