Derhaka bermula dari rumah Umno - Harakahdaily

Mohd Fadli Ghani
Mon | Feb 23, 09 | 1:26:20 pm MYT

TINDAKAN biadap Umno/BN menculik dan membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak telah bertukar menjadi pertembungan antara rakyat dan istana. Puncanya hanya satu � media yang mengapi-apikan kononnya Menteri Besar PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah membuat sembah derhaka kepada Sultan Perak.

Iklan

Apakah benar Nizar menderhakai sultan saya tidak pasti, tetapi yang pasti media pro BN menggembar-gemburkan hal ini sehingga imej Sultan Perak tercalar teruk di hati rakyat kerana para pemimpin Pakatan Rakyat mempertegaskan mereka tidak berniat derhaka, bahkan amat setia kepada raja.

Soal derhaka atau setia bukanlah hak saya untuk menentukannya. Biarlah sultan sendiri membuat perhitungan. Apa yang saya ingin lontarkan adalah derhaka bukanlah budaya dalam masyarakat Melayu di negara ini. Tetapi sejarah negara telah mencatatkan bahawa budaya menderhaka ini bermula di Rumah Umno dan merekalah yang membuatkan Raja-raja Melayu kehilangan wibawa sehingga rakyat bisa mentertawakan raja.

Bahkan, ketika Umno belum wujud, bakal presidennya yang pertama sudah dibuang negeri kerana derhaka kepada Sultan Johor. Dan pada Disember 1992, Umno jugalah yang membuat usul derhaka di Dewan Rakyat kerana marahkan Sultan Johor juga.

Raja zalim disanggah

Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa ketaatan mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul. Islam jugalah yang mewajibkan ketaatan kepada ulil amri (pemimpin) tetapi dengan batasan yang tidak melangkaui ketaatan kepada Allah dan Rasul. Sebarang perselisihan padangan, tidak ada pendekatan lain, melainkan kembali kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah). Inilah prinsip ketaatan dan kederhakaan dalam pemikiran Islam.

Walaupun orang-orang Melayu merasakan bahawa Raja tidak wajar diderhakai, sebenarnya budaya ketaatan Melayu sendiri bermula dengan 'wadat' antara Sang Sapurba yang bergelar Sri Tri Buana sebagai Raja dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat. Mitos Bukit Seguntang ini bermula dengan permintaan Demang Lebar Daun supaya Sri Tri Buana menerima anak cucunya (rakyat) sebagai hamba yang tidak akan dizalimi walaupun berlaku kesalahan, kecuali yang melanggar hukum syarak. Lalu Sri Tri Buana mengkabul permintaan rakyat dengan syarat semua jangan derhaka kepada keturunannya yang menjadi Raja.

"Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu yang mengubah dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah," demikian kedua-duanya bersetuju untuk berwadat itu.

Maknanya, ketaatan akan berakhir sekiranya istana tidak lagi mendukung prinsip keadilan kepada rakyat. Inilah garis antara hak dan tanggung jawab Raja dan rakyat yang berakhir dengan "dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas" dengan maksud memporak-perandakan negeri jika wadat ini dilanggari.

Sejarah Melayu telah merakamkan bahawa anak cucu Sri Tri Buana ini temasuklah Sultan Melaka. Kemudian berkembang membentuk Kesultanan Johor dan Perak pada abad ke-16. Kesultanan Perak dari keturunan Sultan Muzaffar Shah, iaitu anakanda Sultan Mahmud Shah Melaka masih bertahan sehingga hari ini.

Adapun keturunan Sultan Mahmud Shah yang berkerajaan di Johor telah berakhir dalam peristiwa �mangkat dijulang� yang terkenal itu. Mengapakah Sultan Mahmud Johor itu mangkat dijulang sehingga berakhirnya sebuah kesultanan pada 1699. Adil atau zalimkah baginda terhadap rakyat? Lalu 'terpaksalah' rakyat menderhakainya!

Salah sebuah kesultanan yang mempunyai hubungan dengan Melaka di bawah jurai keturunan Bendahara ialah Terengganu. Ketika negeri-negeri Melayu sedang dijajah pada awal abad ke-20, Sultan Zainal Abidin III dan para ulama telah menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu yang terkenal nama 'Itqanul Muluk bi Takdis Suluk' yang menetapkan Sultan Terengganu tidak boleh menyerahkan negeri itu kepada kuasa asing, jika demikian berlaku maka tidak wajib lagi rakyat taatkan rajanya.

Bukankah selepas British melantik penasihatnya di Terengganu pada 1919, berlaku pemberontakan besar pada 1924 hingga 1928 di Terengganu. Derhakakah rakyat atau zalimkah raja?

Pemimpin Umno mulakan sembah derhaka?

Politik Melayu moden selepas abad ke-20 telah memperlihatkan beberapa siri penderhakaan terhadap sultan. Di kalangan ahli politik, yang memulakannya ialah Dato� Onn (datuk kepada Hishamuddin Hussein), yang kemudiannya menjadi Presiden Umno. Derhaka pertama berlaku pada 1920 apabila Dato� Onn mengkritik Sultan Johor secara terbuka di mana sahaja. Beliau marahkan sultan kerana baginda melelong harta bapanya, Dato� Jaafar setelah Menteri Besar Johor itu gagal membayar hutang negeri sehingga kematiannya.

Sultan Ibrahim sangat murka kepada Dato� Onn. Penderhakaan ini berterusan sehingga Dato� Onn dipecat jawatan dan dibuang negeri ke Singapura pada 1927.

Bukan Dato� Onn sahaja yang menderhaka, abangnya, Dato� Abdullah Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor turut menderhaka apabila menghina dan memburukkan nama Sultan Ibrahim di luar negeri pada 1927.

Seorang lagi kakak Dato� Onn, Che Dara Jaafar yang menjadi isteri Sultan Ibrahim turut menerima nasib malang akibat penderhakaan ini. Dato� Abdullah telah dipecat sebagai menteri besar dan dilucutkan gelarannya lalu di buang negeri bersama Che Dara oleh Sultan Johor.

Keluarga Dato� Onn terbuang kerana derhakakan sultan, akhirnya Dato� Onn menjadi pengarang Warta Malaya di Singapura, sebuah akhbar yan begitu lantang mengkritik dan memberi sembah derhaka kepada Sultan Johor pada 1930.

Selepas kembali ke Johor pada 1936, Dato� Onn mendapat semula kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan sehinggalah beliau dilantik memangku tugas Menteri Besar Johor pada Oktober 1946, iaitu beberapa ketika selepas Umno ditubuhkan. Dato� Onn ketika itu adalah Presiden Umno yang pertama.

Setelah jawatannya sebagai Menteri Besar Johor disahkan pada September 1947, Dato� Onn telah mencadangkan supaya seorang Melayu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Raja-raja Melayu amat murka dengan cadangan Umno ini kerana ia meletakkan seorang Melayu di atas daripada kedudukan Raja-raja Melayu Sendiri.

Raja-raja Melayu mengesyaki jawatan itu hendak diberikan kepada Dato� Onn dan ia dianggap satu penderhakaan Umno dan Dato� Onn terhadap Raja-raja Melayu. Sultan Kedah, Sultan Badlishah adalah antara yang paling lantang menentang tindakan derhaka Dato� Onn.

Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union. Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Dato� Onn sekali lagi melakukan derhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan. Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato� Onn menderhakai Raja-raja Melayu dengan menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai �kacang lupakan kulit� dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato� Onn meletakan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949.

Inilah pengalaman derhaka terawal dalam sejarah politik Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Tindakan Umno melantik seorang yang mempunyai rekod derhaka sebagai Presidennya telah membentuk sikap derhaka yang berterusan Umno terhadap Raja-raja Melayu.

Dato� Onn semenjak mudanya mempunyai sikap menderhakai rajanya, kemudian dengan kekuatan sokongan ahli-ahli Umno pada 1948, beliau secara terbuka mencabar kuasa Raja-raja Melayu, dan menggunakan platform Umno untuk menghina dan menderhakai Raja-raja Melayu, termasuk membuat ugutan untuk mengajak ahli-ahli Umno menamatkan sahaja sistem beraja di negara ini! Bukankah derhaka ini bermula dari Rumah Umno?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI