Kembali kepada hukum Allah untuk kesejahteraan ummah

LanH
Fri | Feb 27, 09 | 5:02:10 pm MYT

Berdasarkan senario antarabangsa yang membabitkan umat Islam, kita dukacita saudara seagama terus ditindas penguasa zalim. Di Myanmar (Burma), ribuan umat Islam Rohingya diusir dari tanah air mereka (Arakan) dan terpaksa membawa diri ke negara jiran yang tidak kurang menekan mereka.

Iklan

Diberitakan ribuan pelarian Rohingya terpaksa menempuh gelombang lautan, sejumlah mereka terdampar di pantai Aceh baru-baru ini. Mereka berada dalam keadaan sangat daif tetapi sungguh malang masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan dan dunia Islam memandang sepi permasalahan mereka. Ratusan ribu lagi melarikan diri ke Thailand, Bangladesh dan ke negara kita, tetapi nasib mereka bagaikan lari daripada mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Orang Rohingya bukanlah satu-satunya kumpulan minoriti Islam yang menerima nasib sedemikian rupa. Orang Kashmir, orang Melayu Thailand, orang Moro di selatan Filipina, penduduk Xinjiang (China), Muslim India dan orang Chechen (di Rusia) menghadapi tekanan paling hebat; sebahagiannya disebabkan mereka beriltizam mengekalkan cara hidup Muslim.

Berdasarkan perkembangan semasa, umat Islam sewajarnya tidak lagi menaruh harapan sepenuhnya kepada pertubuhan sejagat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Banyak contoh menunjukkan bahawa pertubuhan dan kuasa dunia tidak memandang sebelah mata kepada permasalahan ummah sebaliknya segera bertindak dalam isu membabitkan orang bukan Islam.

Ambil contoh nasib orang Moro dan Timor Timur. Konflik di Moro sudah berlarutan berdekad-dekad, pertubuhan antarabangsa tidak mengambil peduli akan nasib orang Islam di sana tetapi dalam konflik Timor Timur yang kebanyakan penduduknya beragama Kristian, PBB dengan segera mengusahakan gencatan senjata, seterusnya referendum yang membawa kemerdekaan wilayah itu yang kini dikenali sebagai Timor Leste daripada Indonesia.

Kemudian dalam perubahan tampuk kekuasaan Presiden Amerika kepada seorang tokoh kulit hitam yang digelar warga dunia, Barack Obama mulai 20 Januari lalu; dunia Islam bukan disantuni sebaliknya dikenakan tekanan lebih hebat. Amerika di bawah Obama telah melancarkan beberapa siri serangan udara di sempadan Pakistan-Afghanistan menyebabkan sejumlah orang awam terbunuh manakala laporan terbaru menyebut Washington akan menghantar 17,000 askar tambahan ke Afghanistan.

Demikianlah betapa pergantungan kepada kuasa kufar dan pertubuhan antarabangsa yang dikuasai mereka tidak membantu kesejahteraan ummah. Umat Islam perlu keluar daripada kepompong pergantungan ini tetapi persoalannya bagaimana? Apakah mereka boleh menyandarkan harapan kepada saudara seIslam mereka dari negara-negara Islam dan juga organisasi yang memayunginya iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?

Jawapannya tetap kabur kerana negara umat Islam malah OIC berterusan membisu dalam hal-hal membabitkan penganiayaan terhadap umat Islam sejagat. Sebagai contoh ketika konflik Bosnia, Chechen, Kashmir, Iraq, Afghanistan dan terkini di Palestin dan Myanmar di manakah OIC dan pemimpin negara umat Islam? Ertinya pemimpin dan umat Islam bernafsu-nafsi dalam tindak-tanduk mereka, semuanya berpunca daripada ketidaksediaan mereka mengikut peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasul yang membawa rahmat kepada sekalian alam, apatah lagi ummah.

Negara umat Islam hari ini adalah jelmaan pecah dan perintah kuasa Barat. Sedangkan Islam mengajarkan umat Islam adalah bersaudara, mereka tidak dapat dipisahkan oleh sempadan. Mereka ibarat satu tubuh; jika sakit satu anggota maka sakitlah seluruh badan. Semua panduan untuk berjaya di dunia dan akhirat terkandung dalam al-Quran, malangnya umat keberatan mengikutinya. Oleh kerana itu mereka berpecah-belah; dan selagi tidak kembali kepada al-Quran selagi itu mereka dihina bukan saja oleh kuasa besar dunia tetapi juga rejim pariah seperti Yangon dan Tel Aviv.

* Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI