Sidang tergempar DUN Perak sah. Keputusan Speaker mengatasi kenyataan Setiausaha


Krisis politik Perak mengalami kejutan baru - kali ini membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan Setiausahanya, Abdullah Antong Sabri yang "bertikai" tentang kesahihan mengadakan sidang tergempar Selasa ini.

Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa Speaker tidak boleh memanggil satu sidang tergempar dewan itu Selasa ini kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan itu, Sivakumar pula sambil melahirkan rasa terkejut menegaskan, Setiausaha DUN tiada kuasa untuk mentafsir Perintah Tetap Dewan Negeri.

Pada sidang media diadakan kira-kira 7 petang tadi, Sivakumar menegaskan, tugas Setiausaha ialah mematuhi arahan dikeluarkan oleh Speaker.

Dengan merujuk kepada Perkara Perintah Tetap Dewan Negeri (PT), tertakluk kepada usul khas yang dikemukakan, tafsiran Speaker adalah muktamad.

"Bukankah Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar Dewan?

"Jika hak itu dirampas daripada Speaker, apakah bentuk demokrasi yang kita akan mewarisi pada masa depan.

"Saya merasakan dunia akan gelak terhadap kita jika mana-mana pihak mencampuri atau menghalang kami daripada menghadakan sidang DUN," katanya.

Terdahulu kira-kira 4 petang tadi, dipetik Bernama, Abdullah berkata, mengikut PT Dewan Negeri 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Sivakumar pada Khamis lepas yang beliau bercadang memangggil satu sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Abdullah berkata, beliau telah menerima arahan daripada Sivakumar supaya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar DUN pada Selasa ini melalui surat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari lalu yang turut disertakan notis usul daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dari Teja, Chang Lih Kang dan Titi Serong, Khalil Idham Lim.

Beliau berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar Notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. kata Abdullah.

"Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat..".

"PT 10 (1) mengatakan "Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata, berasaskan PT 10(1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata, peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan UndangUndang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lepas, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

6 ulasan:

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI