Kes Nizar di dengar di Mahkamah hari ini

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff Md Yusof akan memutuskan hari ini sama ada beliau patut menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap penggantinya Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, demikian lapor Bernama.

Mohamad Ariff berkata beliau akan memberi pertimbangan serius mengenai isu itu dan mengkaji hujahan peguam Sulaiman Abdullah selama sejam yang mewakili Nizar dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said bagi Pejabat Peguam Negara.

Rabu lepas, Mohamad Ariff melahirkan kebimbangan sama ada beliau mahu atau tidak untuk mendengar prosiding kerana pembabitan beliau dalam PAS sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, September tahun lepas.

Mohamad Ariff harus memutuskan semakan kehakiman yang dipohon oleh Nizar bagi mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar Perak.

Semalam, Kamaluddin berkata Mohamad Ariff patut menarik diri daripada mendengar kes tersebut bagi mengelak persepsi negatif tentang unsur berat sebelah.

"Adalah pandangan Pejabat Peguam Negara bahawa bagi mengekalkan keyakinan awam dalam badan kehakiman dan demi kepentingan keadilan, adalah elok Yang Arif menarik diri," hujahnya.

Kamaluddin berkata wujud bahaya berat sebelah oleh hakim dengan alasan Mohamad Ariff adalah bekas anggota PAS dan penasihat undangundang PAS dalam beberapa petisyen pilihan raya.

Hujahan itu dibantah oleh Sulaiman yang menyatakan bahawa mengikut Kod Etika Hakim, seorang hakim tidak dilarang mendengar kes parti politik selagi hakim berkenaan tidak menjadi anggota semasa dalam sebarang parti politik.

Beliau juga berkata tidak ada asas bagi Mohamad Ariff menarik diri daripada mendengar kes itu tetapi apa yang lebih penting adalah integriti dan keikhlasan hakim berkenaan.

"Jika anda menarik diri, anda memberi mesej bahawa anda tidak boleh membuat keputusan secara objektif dalam perkara yang kontroversi. Ini bukan mesej yang hendak diberikan," katanya.

"Penarikan diri Yang Arif mungkin mengundang komen yang tidak menyenangkan mengenai badan kehakiman," kata Sulaiman, yang menambah ujian sebenar bahaya soal berat sebelah dalam keadaan kes ini tidak dipenuhi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI