Serahkan kepada rakyat

Wednesday, February 25, 2009

(*) Bloggers@HOT - Serahkan kepada rakyat !

Hanya satu sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut politik yang semakin meruncing di Perak sekarang, bubarkan DUN Perak supaya pilihan raya negeri dapat diadakan. Hanya rakyat yang dapat menyelesaikan krisis politik yang makin meruncing sekarang.

Demikian dinyatakan oleh pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas penggantungan Dato Dr Zambry Kadir yang dilantik oleh Sultan Perak mengetuai kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional 6 Februari lalu. Bagaimanapun beliau bersama 7 orang anggota EXCO yang dilantik kemudian digantung oleh Speaker DUN Perak V.Sivakumar 18 Februari lalu kerana……

Tindakan speaker itu telah dikutuk oleh para pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beberapa laporan polis turut dibuat.

Mengulas perkembangan itu Aziz berkata meskipun tindakan Speaker DUN Perak itu kelihatan melampau ia adalah di dalam bidang kuasa beliau. “Mereka yang tidak puas hati dengan tindakan speaker itu boleh mengutuk atau membuat laporan polis; tetapi apa yang polis boleh buat? Undang-undang dalam DUN Perak sama dengan Dewan Rakyat dan kita telah lihat bagaimana Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli-ahli parlimen seperti Karpal Singah dan Fong Po Kuan; ada yang langsung tidak mendapat elaun.

Bagaimanapun tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana itu semua memang kuasa speaker, bagaimana tidak logik dan zalim sekalipun” katanya. Dalam beberapa isu penting, speaker Dewan Rakyat, baik Tan Sri Pandikar Amin Mulia maupun Allahyarham Tun Mohd Zahir, menolak mentah-mentah usul yang dikemukakan oleh pihak Pakatan Rakyat.

Ditanya apakah wajar tindakan Speaker DUN Perak yang dituduh oleh Barisan Nasional sebagai menyalahgunakan kuasa, dendam dan sebagainya Aziz berkata. “Mereka boleh kata apa mereka suka; kuasa speaker memang begitu dan mahkamah sendiri pun tidak akan campur. Dan sekiranya mereka tidak berhati-hati mereka boleh dikenakan hukuman kerana engkar arahan speaker atau menghina DUN Perak”, jelas Aziz lagi.

Di dalam senario di Perak itu kata beliau ubat yang paling mujarab ialah pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diadakan. Aziz menjelaskan pembubaran dapat menyelesaikan banyak perkara termasuk “status tiga ADUN yang melompat itu, kes mahkamah yang ada sekarang dan yang paling penting mewujudkan kestabilan di negeri Perak”.

Beliau berkata krisis politik yang berterusan sejak awal Februari itu memberikan gambaran yang negatif tentang negeri Perak dan itu tidak baik bagi pembangunan ekonomi yang amat penting bagi kesejahteraan rakyat.

“Sejak awal lagi saya berpendapat sultan sepatutnya membubarkan DUN dan bukan melantik kerajaan baru meskipun kuasa itu ada di tangan baginda. Apa yang berlaku sejak dua minggu ini jelas menunjukkan ketidakwajaran itu”, kata profesor undang-undang itu lagi.

Perlantikan itu, kata Aziz lagi, menyebabkan beberapa persoalan yang telah sedia muncul tidak diselesaikan. “Status ADUN itu dikaburkan oleh SPR yang menolak notis speaker dan sebab itu saya tidak terperanjat dengan tindakan menggantung Zambry dan rakan-rakan EXCOnya”, katanya.

Aziz berkata sekiranya rakyat tidak diberi peluang membuat keputusan selagi itu kerajaan yang ada akan terus menyeret istana ke kancah politik. Tiga hari lalu Perdana Menteri menuduh speaker DUN Perak tidak menghormati sultan dengan tindakannya menggantung Zambry dan para EXCOnya.

Mengenai kemungkinan kerajaan persekutuan mengisytiharkan darurat di Perak Aziz berkata ia tidak mudah untuk berlaku. “Memang ia boleh dibuat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tetapi saya tidak fikir Tuanku Mizan akan mengikut begitu sahaja. Kita sudah lihat bagaimana Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh istana meskipun beliau mempunyai majoriti yang jelas dalam DUN Terengganu. Apa yang penting di sini ialah betapa Tuanku Mizan tidak mengikut apa sahaja yang dinasihatkan oleh kerajaan”, tegas Aziz.

Kerajaan persekutuan pernah mengisytiharkan darurat di dua buah negeri yang dilanda oleh krisis politik sebelum ini. Kali pertama ialah pada 1966 apabila Sarawak dilanda kemelut ekoran kengganan Ketua Menteri Dato Stephen Kalong Ningkan meletakkan jawatan. Ini diikuti oleh perisytiharan yang sama di Kelantan sewaktu Menteri Besar Datuk Mohamed Nasir enggan meletakkan jawatan meskipun tewas dalam undi tak percaya pada 1977.

Aziz menjelaskan dengan perisytiharan darurat kerajaan persekutuan akan “menggantung perlembagaan negeri dan kemudian mengambilalih pentadbiran negeri”.

Bagaimanpun beliau tidak yakin kerajaan pusat berani berbuat demikian kerana ini akan menyebabkan mereka dianggap perampas dan tidak popular. Beliau berkata meskipun kerajaan pusat pernah melakukannya mereka tidak berbuat demikian sewaktu Sabah dilanda krisis politik pada 1985 dan 1994.(source : DD/al-BanjariOnline)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI