Sah : Sidang tergempar DUN Perak esok

Isnin, 2 Mac 2009 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional

KUALA LUMPUR, 28 Feb (SK) - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar yang memanggil sidang tergempar dewan itu esok untuk membahaskan dua usul bagi menangani krisis politik negeri tersebut.

Menurut agensi berita, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidangan biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.

Beliau menggunakan kuasanya di bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.

Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu Menteri Besar Kerajaan BN sekarang Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.

Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.

Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadir bagi menyertai sidang itu.

Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.

Sementara itu, Exco Kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.

Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut.

Pensyarah undang-undang dan pakar perlembagaan Prof. Aziz Bari berkata Dewan mempunyai autonominya sendiri yang bebas dari mahkamah.

“Tindakan speaker tidak harus disamakan dengan komen individu yang boleh diambil tindakan di bawah prinsip sub judice. Apa yang penting ialah apa yang dilakukan itu berada di bawah bidang kuasa dewan,” kata Aziz kepada Suara Keadilan.

Bekas Timbalan Speaker Dun Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata, amalan yang serupa juga berlaku di parlimen sebelum ini di mana Perdana Menteri mencadangkan persidangan diadakan bagi membincangkan isu pencerobohan Yahudi ke atas bumi Palestin.

“Persidangan parlimen tersebut berlangsung dengan hanya empat hari notis bukan 14 hari sebagaimana kelaziman yang menjadi amalan bagi persidangan biasa,” katanya sebagai mengulas tindakan Speaker Dun Perak, V Sivakumar mengeluar notis diadakan persidangan tergempar Dun Perak 3 Mac ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI