Sidang tergempar DUN Perak Sah - Bekas Speaker DUN Kelantan

Zuharman MN Mon Mar 02, 09 11:14:10 am MYT
KOTA BHARU, 2 Mac (Hrkh) - Persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak esok sah kerana ia tidak memerlukan perkenan sultan dan tanpa notis 14 hari sebagaimana persidangan biasa.

Bekas Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, amalan yang serupa juga berlaku di parlimen sebelum ini di mana Perdana Menteri mencadangkan persidangan diadakan bagi membincangkan isu pencerobohan Yahudi ke atas bumi Palestin.
"Persidangan parlimen tersebut berlangsung dengan hanya empat hari notis bukan 14 hari sebagaimana kelaziman yang menjadi amalan bagi persidangan biasa," katanya sebagai mengulas tindakan Speaker Dun Perak, V Sivakumar mengeluar notis diadakan persidangan tergempar Dun Perak 3 Mac ini.
Wan Ismail ketika mendedahkan perkara itu pada ceramah di Cherang, dekat sini malam semalam sambil berkata, tindakan Sivakumar tidak bercanggah dengan perlembagaan serta peraturan tetap dewan.
Beliau yang juga Adun Melor berkata, tidak ada alasan konkrit sebagaimana disebut pihak tertentu kononnya Sivakumar menyalahgunakan kuasa.
Baru-baru ini Sivakumar mengeluarkan notis untuk diadakan persidangan tergempar Dun Perak selepas menerima usul daripada dua anggota dewan bagi membincangkan usul menyokong Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan persidangan diadakan bagi membubarkan Dun.
Bagaimanapun Setiausaha Dun Perak, Abdullah Antong Sabri dilaporkan berkata, tindakan Sivakumar bercanggah dengan Perintah Tetap Dun Perak dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
Namun pegawai itu juga menyebut syarat notis 14 hari hanya boleh dikecualikan dalam keadaan tergempar dan notis berkenaan perlu dikeluarkan dalam masa segera yang boleh.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak pula menganggap persidangan tersebut tidak boleh diadakan berikutan krisis di Perak menjadi kes mahkamah.
Wan Ismail berkata, sekiranya kenyataan Timbalan Presiden Umno itu diambil kira tentunya pelantikan Menteri Besar baru di Perak juga tidak boleh diterima kerana ia membabitkan kes mahkamah.
Mantan Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, persidangan pertama Dun sahaja yang memerlukan perkenan sultan, manakala persidangan Dun berikutnya tidak perlu lagi.
"Menjadi amalan di Kelantan pihak Dewan mngemukakan tiga tarikh persidangan Dun bagi tempoh setahun. Dan setiap tarikh yang kita kemukakan kepada pihak istana, baginda menyetujui.
"Persidangan Dun perlu diadakan dalam tempoh enam bulan. Di Kelantan persidangan Dun diadakan tiga kali dalam tempoh setahun," katanya di sini.
Wan Ismail yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan berkata, Umno kini sudah benar-benar ketandusan isu apabila sengaja membangkitkan isu derhaka kepada raja, sedangkan mereka lupa pemimpin Umno menjuarai penderhakaan kepada raja Melayu.
Menurutnya di Kelantan rakyat tidak pernah lupa tindakan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Annuar Musa menabal Tengku Ibrahim Petra di bawah pokok Ketapang di Ketereh pada 29 April 1993.
"Umno usahlah hendak nafikan tidak pernah derhaka kepada raja. Mereka lupa perbuatan itu merupakan satu penderhakaan paling besar dalam sejarah moden di negara ini.
"Sekiranya pemimpin Umno mahu menjadi juara mempertahankan institusi raja-raja Melayu mereka perlu mengadap semua raja-raja memohon maaf di atas perbuatan itu sebelum ini," katanya. - mj _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI